Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, August 30, 2013

No Comment
Tun Dr Mahathir bin Mohamad

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata biarlah rakyat Syria menentukan jatuh bangunnya negara mereka dan negara luar tidak perlu campurtangan dalam hal dalaman negara Timur Tengah itu.
   
"Biarlah rakyat Syria yang tentukan nak sokong kerajaan atau jatuhkan kerajaan mereka...orang luar jangan masuk campur.
   
"Kerajaan Malaysia bersikap berkecuali sebab kita tidak tahu apa sebenarnya kehendak masyarakat Syria...sebab di Syria ada yang sokong pemerintah dan ada yang sokong pemberontak," katanya kepada pemberita hari ini.
   
Terdahulu beliau dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meluangkan masa kira-kira sejam melawat Red Carpet@i-City di i-City di seksyen 7 di sini.
   
Mengulas lanjut berhubung tindakan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang seolah-olah berdiam diri terhadap isu Syria itu, Dr Mahathir berpendapat negara anggota OIC mempunyai pendirian yang berbeza-beza mengenai isu tersebut.

"Ada ahli-ahli OIC yang mempunyai pendapat yang berbeza, contoh seperti (negara) Arab Saudi dan Qatar yang menyokong pemberontak, manakala yang lainnya ada yang menyokong kerajaan (Syria) dan atas sebab inilah OIC tidak boleh nak berfungsi sebaiknya," katanya.
   
Sebelum ini, akhbar melaporkan lebih 1,300 orang terbunuh apabila tentera Syria didakwa melancarkan serangan menggunakan senjata kimia di daerah Ghouta berdekatan Damsyik Rabu lepas, yang turut mencederakan ramai lagi penduduk.
   
Sementara itu, Dr Mahathir menegaskan beliau membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana ia boleh menyebabkan negara sekali lagi terjerumus dalam krisis ekonomi Asia seperti pada 1997 dan 1998.
     
Menurutnya, jika kerajaan menandatangani TPPA, satu perkara yang membimbangkannya ialah negara akan hilang kawalan mata wang yang secara tidak langsung membuka ruang terhadap perdagangan mata wang.
   
"Bila berlaku perdagangan mata wang, ia akan menekan mata wang kita dan kita akan jadi miskin. Salah satu sebab saya membantah TPPA ini ialah ia akan menyebabkan krisis mata wang sekali lagi. Sebab itu, saya harap kerajaan tidak setuju dengan TPPA.

"Saya dengar kerajaan sedang mencuba untuk mengurangkan defisit dan kerajaan perlu kaji kenapa ini berlaku. Saya berharap kerajaan tidak membelanjakan terlampau banyak duit yang kita tidak ada, sehingga menyebabkan kita perlu meminjam wang seperti yang berlaku di Greece. Di Greece, mereka terus membelanjakan wang dan pada masa sama terus meminjam wang," katanya.
   
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan negara di rantau Asia sekali lagi akan berdepan krisis ekonomi pada 1997 dan 1998.
    
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya berhubung filem 'Tanda Putera' arahan Datin Paduka Suhaimi Baba yang menemui penonton di seluruh negara hari ini, kecuali filem itu tidak digalakkan ditayang di Pulau Pinang, beliau berkata adalah tidak adil sekiranya filem itu tidak digalakkan ditayangkan di negeri tersebut.
   
"Masyarakat mampu menilai baik atau buruk filem itu, jadi biarkan masyarakat menilainya sendiri," katanya.
   
Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam sidang akhbar berkata kerajaan negeri pimpinan DAP meminta pengusaha pawagam di negeri itu tidak menayangkan filem Tanda Putera dengan mendakwa ia mengandungi unsur-unsur sensitif dan fitnah yang tidak sesuai untuk tontonan umum.
   
Filem arahan Shuhaimi itu yang diterajui dua bintang utama iaitu Rusdi Ramli sebagai Tun Abdul Razak Hussein dan Zizan Nin sebagai Tun Dr Ismail Abdul Rahman ditayang serentak di 60 pawagam di seluruh negara mulai hari ini. - Bernama

0 comments:

Post a Comment