Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, August 31, 2013

No Comment
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud

SRI AMAN - Peristiwa berdarah di Lahad Datu dan masalah keselamatan di masa lepas di negeri ini yang menyaksikan pembentukan Kawasan Keselamatan Rejang (Rascom) perlu menjadi peringatan kepada pemimpin dan rakyat untuk bekerjasama dan memastikan perpaduan dan kedaulatan negara terus utuh.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata kemajuan yang dinikmati rakyat,  khususnya di luar bandar, selepas merdeka berlaku kerana terdapat kepimpinan politik yang  teratur.

"Namun kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian kita setakat ini kerana amat penting bagi kita untuk mengekal dan menjaga perpaduan dan kedaulatan negara supaya kepimpinan dalam negara ini akan berkekalan untuk meneruskan usaha pembangunan sejajar dengan agenda membangunkan Sarawak sebagai negeri yang terkaya menjelang 2030," katanya pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, peringkat negeri Sarawak di padang kompleks sukan Sri Aman di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu pada majlis tersebut, yang menyaksikan pelbagai persembahan warna warni oleh 124 kontinjen melibatkan 6,000 peserta.

Taib berkata sejajar dengan tema "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku,",  bandar Sri Aman yang merupakan pusat pentadbiran bahagian Sri Aman dengan nama asalnya Simanggang dan Betong, mempunyai sejarah tersendiri pada satu ketika dahulu.

Pihak penjajah melihat kedudukan strategik bandar ini sebagai pusat pentadbiran bahagian Simanggang pada ketika itu yang merangkumi banyak tempat mempunyai sejarah tersendiri seperti Bukit Sadok  dan Batang Ai, katanya.

Namun, katanya, yang paling penting lagi dalam konteks sejarah Sarawak moden adalah peristiwa yang memberi justifikasi kepada pertukaran nama Simanggang menjadi bandar Sri  Aman dan bahagian Sri Aman berkaitan dengan penyerahan gerila komunis bersenjata.

Sebelum itu mereka telah mengancam keselamatan negeri ini, khususnya di kawasan Sibu, Kanowit dan Sarikei yang telah dinamakan Rascom, yang berjaya mengamankan pergolakan pada  masa itu, katanya.

"Ini adalah satu sejarah yang kita patut abadikan kerana ia merupakan satu penyelesaian masalah keselamatan utama. 'The Sarawak Way," kata Ketua Menteri dan menurutnya kepimpinan Barisan Nasional (BN) pusat yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak amat prihatin dan memahami kekurangan serta keperluan Sarawak.

Kini rakyat sudah dapat melihat daripada pertumbuhan ekonomi bahawa pendapatan per kapita anak-anak Sarawak telah meningkatkan kepada RM42,000 pada masa kini dibanding hanya RM680 sebelum merdeka, katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment