Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, November 26, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT) Isnin mendapati bekas jeneral tentera Israel Amos Yaron (Gambar) dan regim Israel bersalah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dan penghapusan bangsa menerusi pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di khemah pelarian Sabra dan Shatila di Beirut pada 1982.

Presiden KLWCT Tan Sri Lamin Mohd Yunus, yang mengetuai panel tujuh anggota, berkata tribunal puas hati tanpa keraguan munasabah bahawa kedua-dua defendan adalah bersalah sebagaimana menurut tuduhan.

Hakim-hakim lain ialah Tunku Sofiah Jewa, Prof Salleh Buang, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Datuk Saari Yusof, John Philpot dan Tunku Intan Mainura.

Ketika membacakan penghakiman selama hampir tiga jam, Hakim Lamin berkata tribunal memerintahkan pampasan dibayar sejajar dengan kerosakan dan kecederaan, kesengsaraan dan penderitaan yang dahsyat yang dialami oleh pengadu selaku mangsa jenayah.

Perintah ini dibuat walaupun dengan kesedaran bahawa tribunal itu tidak mempunyai kuasa atau penguatkuasaan sebenar.

Hakim Lamin berkata adalah diharap dengan berbekalkan hasil siasatan tribunal, para saksi yang juga mangsa kes ini akan, tidak lama lagi, mendapatkan sebuah negara atau entiti kehakiman antarabangsa yang dapat dan sedia melaksanakan bidang kuasa bagi menguatkuasakan keputusan tribunal terhadap dua pihak itu yang disabit kesalahan.

Tribunal juga memerintahkan bahawa anugerah pampasan itu akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Jenayah Perang bagi memudahkan penentuan dan penerimaan pampasan tersebut.

Hakim Lamin mengambil perhatian bahawa tribunal itu cukup menyedari bahawa keputusan itu hanya bersifat pengisytiharan dan tidak mempunyai unsur penguatkuasaan.

“Apa yang boleh kita lakukan…ialah memperakukan kepada KLWCT agar mengemukakan keputusan sabit kesalahan oleh tribunal, bersama rekod prosiding kepada ketua pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan juga kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB,” kata hakim itu.

Beliau juga berkata tribunal memperakukan kepada KLWCT bahawa nama dua pihak yang sabit kesalahan dimasukkan dalam Daftar Penjenayah Perang suruhanjaya itu dan dihebahkan sewajarnya.

Yaron didakwa kerana penglibatan langsungnya selaku jeneral memerintah dalam pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatila.

Ini pertama kali Yaron didakwa kerana jenayah perang.

Dakwaan kedua ialah terhadap regim Israel kerana jenayah genosid (penghapusan bangsa) dan jenayah perang terhadap rakyat Palestin.

Sepanjang perbicaraan enam hari itu, tribunal mendengar keterangan 11 saksi pendakwaan termasuk rakyat Palestin keturunan Muslim dan Kristian serta pakar bedah Malaysia Dr Ang Swee Chai yang berkhidmat di khemah tersebut semasa kejadian pembunuhan beramai-ramai itu.

Enam saksi memberi keterangan di KLWCT sementara lima yang lain memberi keterangan menerusi Skype. Ketua Pendakwa Prof Gurdial S. Nijar menyifatkan keputusan itu sebagai “signifikan” kerana ini menandakan buat pertama kalinya regim Israel didapati bersalah melakukan penghapusan bangsa.

Beliau berkata penghakiman hari ini akan dikemukakan kepada ketua pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa, PBB dan Majlis Keselamatan PBB untuk tindakan seterusnya.

Beliau menambah, penghakiman itu akan juga dihebah dan diedarkan kepada kerajaan-kerajaan seluruh dunia bagi membolehkan mereka melaksanakan bidang kuasa mereka berhubung genosid.

“Di bawah Konvensyen Genosid, setiap kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menangkap dan mendakwa orang-orang yang sabit kesalahan berkenaan, yang memasuki wilayah mereka,” kata beliau. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment