Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, January 28, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor perlu dipertanggungjawabkan kerana melayani rakyat Selangor umpama boneka berhubung isu wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Kajang.

Bendahari Pemuda MCA pusat Michael Lee berkata dakwaan kononnya tindakan Lee itu bagi memberi laluan kepada Penasihat PKR dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Menteri Besar Selangor menunjukkan bahawa pengundi telah dipergunakan.

“Adakah Anwar dianggap terlalu penting kepada PKR sehingga mereka sanggup mengorbankan hak 39,000 pengundi Kajang untuk memenuhi kehendak pemimpin PKR?,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hari ini Anwar dinamakan sebagai calon PKR bagi pilihan raya kecil DUN Kajang, sekiranya ada pertandingan, selepas kerusi itu dikosongkan oleh Lee semalam.

Setiausaha MCA Selangor Ng Chok Sin berkata peletakan jawatan oleh Lee mendedahkan sikap hipokrit calon-calon PKR dan pengundi PKR perlu menolak mereka.

“Sejak 2008, satu pilihan raya kecil telah diadakan bagi membolehkan penyertaan Anwar sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh apabila isterinya berundur, dan kini kerusi DUN Kajang.

“Insiden ini menunjukkan permainan politik PKR untuk memperkukuhkan kuasa Anwar,” katanya.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Kerajaan Wanita MCA Kat Wong Mei Yin berkata PKR lebih berminat menjadikan Anwar sebagai ikon daripada mengutamakan rakyat yang mengundi mereka.

“Peletakan jawatan oleh Lee jelas mempermainkan sistem pilihan raya demokrasi,” katanya.

Di KUALA SELANGOR, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar menyifatkan tindakan Lee itu merupakan penyalahgunaan dan penghinaan ke atas sistem demokrasi.

Tindakannya itu mempermainkan dan memperbodohkan para pengundi di kawasannya dan tidak mengiktiraf kepercayaan yang telah diberikan rakyat, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan awal persekolahan RM100 seorang kepada 115 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yit Khwan dan 62 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bagan Pasir hari ini.

“Mereka (pembangkang) bercakap soal penjimatan duit kerajaan…duit rakyat…mereka tidak ambil kira itu semua. Apabila ada pilihan raya kecil pasti kerajaan terpaksa menggunakan duit rakyat untuk menguruskan pilihan raya dan akan melibatkan kos yang belum dapat dipastikan lagi.

“Jadi apa maknanya kalau nak bertanding secara suka-suka, tidak serius dan apabila sampai masa tanpa sebab letak jawatan, mungkin nak beri  peluang kepada orang lain untuk mengambil tempatnya,” kata Noh.

Oleh itu, beliau berkata para pengundi di Kajang perlu sedar dan membuka mata mereka supaya jangan lagi diperkudakan dan diperkotak-katikkan oleh wakil rakyat yang mereka berikan mandat dan parti yang diwakilinya.

Meletakkan jawatan adalah hak Lee tetapi bagaimana dengan hak rakyat yang memilih beliau pada pilihan raya umum lepas dan ini merupakan satu
pengkhianatan amanah rakyat kerana ada kepentingan politik untuk memberikan laluan kepada orang lain, katanya.

“Mereka menjadikan rakyat sebagai kuda tunggangan untuk mencapai kepentingan itu. Anwar berkemungkinan mahukan jawatan Menteri Besar Selangor kerana jawatan itu menawarkan gaji yang lebih dari seorang Perdana Menteri iaitu jawatan yang dihasratkan beliau sebelum ini,” kata Noh.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek pula berkata keputusan PKR menamakan Anwar sebagai calon menunjukkan seolah-oleh parti itu sudah ketandusan pemimpin.

Keputusan itu juga menunjukkan parti itu hanya bergantung kepada Anwar yang kini juga adalah anggota Parlimen Permatang Pauh, katanya.

Hasan yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno tidak menolak kemungkinan ada muslihat yang dirancang oleh parti itu.

“Sudah jadi anggota Parlimen lepas itu nak jadi anggota DUN pula, pada saya mereka sudah ketandusan pemimpin ataupun mungkin ada muslihat-muslihat lain yang dia nak bertanding…itu kita tidak tahu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penilai Harta Intelek (IP) siri kedua kepada 16 peserta yang tamat latihan IP di sini hari ini.

Hasan berkata tindakan Lee meletak jawatan itu adalah hanya demi kepentingan pihak tertentu sahaja dan tidak memikirkan bahawa untuk menjalankan pilihan raya kecil ia melibatkan sejumlah wang yang banyak.

“PKR selalu cakap jimat wang, tapi sekarang mereka pula buat begini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment