Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, April 24, 2014

No Comment

JOHOR BAHRU – Perkhidmatan kecemasan menerusi aplikasi ‘SaveME 999′, yang sebelum ini diperkenalkan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dijangka akan diperluaskan kepada orang ramai, Jun depan.

Pengarah Jabatan Logistik Polis Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah berkata kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia sudah bersetuju untuk memperluaskan aplikasi percuma itu yang bermatlamat supaya hanya satu sistem digunakan di seluruh negara bagi pengurusan panggilan kecemasan.

“Di Johor ada menggunakan aplikasi ‘Community Alerts’ manakala Selangor ada menggunakan aplikasi ‘My Distress’. Jadi, sekarang ini kita mahu hanya penggunaan satu ‘butang kecemasan’ yang seragam di seluruh negara bagi pengurusan panggilan kecemasan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Polis Larkin, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Zulkifli berkata perbincangan lanjut mengenai perluasan aplikasi itu sedang dilakukan dan diharapkan ia dapat membantu pasukan polis meningkatkan kecekapan penugasan kepada orang ramai.

Sementara itu, Zulkifli berkata polis bersama pihak swasta akan meneliti penambahbaikan dalam penggunaan Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi memudahkan pemantauan sekali gus mengurangkan beban tugas anggota pasukan.

Beliau berkata melalui kemudahan CCTV dengan teknologi terkini seperti tidak perlu diawasi sepanjang masa dan mampu memberi amaran awal kepada anggota polis difikirkan amat penting dalam meningkatkan pengawasan.

Menurut Zulkifli sejumlah enam bot RHFB juga akan ditambah awal bulan depan bagi mengukuhkan kedudukan polis dalam mengawasi perairan Sabah.

“Sebanyak lima bot jenis yang sama sudah diserahkan Ogos tahun lepas untuk meningkatkan keupayaan kawasan keselamatan di Sabah dan hari ini saya sudah menyaksikan ujian laut terhadap enam bot lagi yang kita jangkakan akan diserahkan selewat-lewatnya awal Mei ini,” katanya.

Mengenai lawatan hari ini, Zulkifli berkata kerajaan sudah bersetuju untuk membina Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Baharu Selatan dan IPD Nusajaya yang baharu dalam masa terdekat.

Beliau berkata IPD Johor Baharu Selatan yang akan dibangunkan bersama Balai Polis Larkin yang baharu dijangka menelan kos RM85 juta manakala IPD Nusajaya sebanyak RM109 juta.

Katanya IPD Johor Baharu Selatan memerlukan bangunan baharu bagi menggantikan bangunan lama di pusat bandar yang sudah uzur manakala IPD Nusajaya pula memerlukan bangunan yang lebih sesuai bagi menggantikan operasi ketika ini di bangunan rumah kedai. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment