KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung 27 permit bas ekspres Transnasional bagi laluan Timur-Sektor Utara berikutan insiden kemalangan membabitkan bas ekspres milik syarikat itu baru-baru ini.
SPAD dalam satu kenyataan media memberitahu, tindakan menggantung permit bas syarikat tersebut akan berkuatkuasa pada 23 April.
“Keputusan ini diambil hasil pengauditan yang mendapati syarikat tidak memantau had kelajuan dan mendapati sistem Global Positioning System (GPS) tidak berfungsi.
“Tindakan tegas juga akan diambil ke atas syarikat-syarikat yang lain yang terlibat dalam kemalangan di Temerloh dan Pekan sekiranya terdapat pelanggaran syarat pelesenan dan pekeliling-pekeliling berkaitan,” kata kenyataan itu hari ini.
Kata kenyataan itu, setiap bas persiaran dan ekspres wajib dilengkapi GPS sejak tahun 2010 dan perkara itu turut termaktub dalam syarat perlesenan manakala pengendali bas ekspres perlu memastikan sistem GPS itu berfungsi dan dipantau sepenuhnya.
SPAD turut memaklumkan akan mengetatkan prosedur supaya pengendali bas persiaran dan ekspres memberi tumpuan lebih serius terhadap pengurusan kelajuan dan keselamatan seperti berikut:
1) Pasukan audit SPAD akan mengaudit pemantauan pematuhan had kelajuan GPS bagi setiap pengendali bas ekspres di Semenanjung Malaysia dalam masa 30 hari. Sekiranya pengendali didapati gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan maka lesen akan digantung sehingga pengendali patuh kepada proses pemantaun itu.
2) Setiap pengendali perlu melantik Pengawal (controller) untuk memantau hadl aju bagi setiap perjalanan harian (realtime). Pengawal dipertanggungjawabkan untuk bertindak jika pemandu melebihi had kelajuan.
3) Pengendali dikehendaki mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang ingkar mematuhi syarat-syarat keselamatan yang telah ditetapkan. Semua tindakan itu perlu dilaporkan kepada SPAD.
4) Pengendali diwajibkan untuk mengemaskini data maklumat pemandu melalui “SPAD Driver Information System”.
5) Pengendali dikehendaki mengemukakan laporan pemantauan had kelajuan GPS kepada SPAD dan memberi penjelasan sekiranya terdapat pelanggaran had kelajuan yang telah ditetapkan.
6) Pengendali dikehendaki mempamerkan nombor hotline penyelia didalam dan diluar bas supaya penumpang dan pengguna jalanraya lain boleh membuat aduan terus kepada mereka dan tindakan efektif perlu diambil dengan segera. Pengadu boleh melaporkan kepada SPAD jika tindakan penyelia kurang memuaskan.
7) SPAD akan mengadakan kempen kesedaran umum mengenai aspek keselamatan penggunaan Pengangkutan Awam Darat dengan segera. Ini akan dilakukan supaya langkah-langkah penambahbaikan itu lebih efektif.
SPAD menegaskan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pengendali bagi setiap kejadian pelanggaran had laju yang dikesan.
Kenyataan itu menambah, SPAD sedang mengkaji kesesuaian penggunaan kotak hitam dalam kenderaan-kenderaan perdagangan.
0 comments:
Post a Comment