Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, May 30, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Keputusan analisis Jabatan Kimia terhadap sampel coklat Cadbury, yang didakwa mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) khinzir dalam ujian makmal Kementerian Kesihatan, akan diketahui pada Rabu, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.

“Kami (Jakim) perlu siasat secara keseluruhan dan teliti, bukan sahaja sampel coklat, tetapi juga seluruh rantaian pengeluaran produk syarikat itu merangkumi bahan mentah, aliran pemprosesan, penyimpanan, peralatan dan lain-lain di kilang itu.

“Ujian awal KKM (Kementerian Kesihatan) adalah berdasarkan persampelan di pasaran sahaja… kami (Jakim) perlu mengikut prosedur ketat iaitu sampel mesti diambil di kilang iaitu bermula daripada ia diproses untuk memastikan adakah DNA porcine (khinzir) itu datang dari kilang atau berlaku pencemaran di luar,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya.

Beliau berkata makmal Jabatan Kimia diwartakan sebagai makmal makanan yang kompeten dalam menjalankan analisis makanan selain mendapat akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025: 2005 bagi pengujian DNA termasuk pengujian produk makanan diproses.

Beliau berkata makmal KKM pula diakreditasi untuk membuat ujian terhadap produk berasaskan daging serta ikan dan bukan makanan yang telah diproses.

“Ujian penemuan yang dibuat KKM itu juga tidak boleh dibawa ke mahkamah kerana Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia menetapkan bahawa ujian Jabatan Kimia sahaja yang diterima, malah di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, hanya keputusan Jabatan Kimia sahaja yang diiktiraf,” katanya.

Othman turut menafikan dakwaan orang ramai bahawa Jakim mendiamkan diri dan lambat bertindak dalam isu coklat Cadbury, sedangkan pengesanan hasil analisis KKM mengesahkan terdapat elemen khinzir terdapat dalam dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond).

Beliau menjelaskan Jakim tidak dimaklumkan oleh KKM mengenai ujian dan penemuan DNA khinzir yang dibuat pada 27 Feb itu, malah hanya menyedari isu itu setelah ia menjadi viral di dalam laman sosial pada 23 Mei lepas.

“Antara Jakim dan KKM telah ada persetujuan dan penyelarasan iaitu apa sahaja hal yang berkaitan halal, ia perlu dirujuk kepada Jakim tetapi tidak tahu mengapa penemuan ini tidak dilaporkan kepada kami sehingga ia (hasil ujian) bocor di di Internet pada 23 Mei,” katanya.

Othman berkata Jakim terus bertindak mengadakan mesyuarat tergempar setelah KKM mengesahkan dua produk terbabit mengandungi DNA khinzir, dan menggantung serta-merta sijil pengesahan halal dua produk coklat Cadbury berkenaan pada 24 Mei.

Pemeriksaan berkala kali terakhir oleh Jakim pada 20 Feb lepas mendapati syarikat Cadbury Confectionary Malaysia Sdn Bhd, yang menerima status halal sejak 2004, mematuhi kesemua syarat sijil halal termasuk untuk bahan mentah yang digunakannya, katanya.

Sumber: Bernama

0 comments:

Post a Comment