Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, July 30, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Mengejar kedudukan tinggi dari segi sosioekonomi adalah antara faktor ramai rakyat di negara ini mudah terjerumus dalam skim pelaburan cepat kaya.

Biarpun ada yang menyedari peluang yang ditawarkan oleh skim itu agak mustahil untuk diterima dek akal, namun kerana mahu cepat kaya dengan jalan mudah, mereka hilang pertimbangan berdasarkan prinsip ‘tidak cuba tidak tahu’.

Disebabkan prinsip itu mereka akhirnya terpaksa membayar harga yang tinggi kerana semua orang tahu tidak ada jalan mudah dalam meraih kekayaan, kata pakar perunding psikiatri Universiti Malaya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari.

“Lebih menyedihkan ada juga antaranya terpaksa menggadai banyak harta untukmeneruskan kehidupan,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya jika ada yang kaya dengan modal kecil, kes sedemikian hanya satu dalam sejuta.

Beliau mengulas kewujudan skim cepat kaya di negara ini yang tetap mendapat sambutan masyarakat sekalipun media berulang kali melaporkan tentang mangsa-mangsa yang terpedaya dan mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.

Terbaharu, media mendedahkan tentang skim YSLM yang diasaskan oleh seorang lelaki warga China, Zhang Jiang yang mendakwa dirinya bakal menjadi orang terkaya di dunia.

Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menjalankan siasatan dan mendapati syarikat tersebut tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta tidak memiliki lesen daripada kementerian untuk menjalankan perniagaan jualan langsung.

Sementara itu pakar psikologi, Dr Meriam Omar Din melihat fenomena tersebut berpunca daripada kejahilan mangsa terhadap ‘matematik perniagaan’.

“Kebanyakan mereka ini tidak faham asas-asas perniagaan, pelaburan dan percaya pada skim yang ditawarkan berdasarkan testimoni (orang lain),” kata bekas pensyarah psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

Sejarawan Negara Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pula melahirkan kebimbangan dengan senario masyarakat yang mudah mempercayai skim seumpama itu.

Katanya masyarakat kini dilihat terlalu mementingkan nilai material dan menjadikan kekayaan sebagai budaya sehingga mendatangkan pelbagai masalah.

“Dunia, teknologi semakin maju, tapi dari segi budaya semakin merosot. Saya bimbang budaya persaingan untuk menjadi kaya akan membawa akibat yang sangat bahaya kepada individu, masyarakat dan negara,” katanya.

Jelas Khoo masyarakat perlu berbalik kepada kesederhanaan dalam kehidupan untuk mengelakkan diri terpedaya kerana skim cepat kaya akan sentiasa ada dan muncul dengan wajah berbeza untuk menarik mangsanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment