Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, August 8, 2014

No Comment

CYBERJAYA – Majlis Raja-Raja memperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Canselor Universiti Islam Malaysia (UIM), universiti penyelidikan untuk program pasca siswazah yang pertama di negara ini.

Presiden UIM Tan Sri Prof Dr Mohd Yusof Noor berkata UIM, yang dijangka memulakan pengambilan pelajar hujung tahun ini, tidak mempunyai Pro Canselor sebaliknya akan mempunyai Penaung Diraja iaitu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Penasihat Diraja Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Ini merupakan tiga tokoh diraja yang penting bagi universiti ini, sesuai dengan status universiti sebagai universiti yang dinaungi oleh Raja-Raja Melayu,” katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Dua jawatan penasihat juga diwujudkan iaitu Penasihat Pembangunan Dana dan Aset yang disandang Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Penasihat Akademik yang dipegang Tan Sri Prof Dr Mohd Kamal Hasan.

UIM turut melantik beberapa profesor bagi memenuhi keperluan universiti termasuk Prof Dr Muddathir Abdel Rahim dari Sudan, Prof Dr Noor Inayah Yaakub (Malaysia), Prof Dr Adel M Abdulaziz Algeriani (Libya) dan Prof Dr Mujahid M Bahjat (Iraq).

“Bagi menjalankan urusan akademik dan penyelidikan, kita hanya mengambil mereka yang bertaraf profesor sahaja. Ini untuk memastikan universiti dapat mengekalkan kualiti yang dapat menjadi kebanggaan negara,” katanya.

Prof Mohd Yusoff berkata bidang tujahan universiti itu adalah sains perbandingan dengan sebarang penyelidikan atau kursus ijazah mesti mempunyai elemen perbandingan secara serius.

UIM juga akan membangunkan satu ruang atau kompleks khas yang dinamakan ‘Quranic Laboratory’ untuk kegiatan memahami rahsia yang terkandung di dalam Al-Quran dengan menggunakan teknologi moden.

“Memandangkan ini adalah universiti baharu dan perlu menjaga status dan kualitinya, kita tidak akan mengambil pelajar yang ramai tetapi hanya beberapa orang sahaja.

“Kursus yang ditawarkan bukan untuk menolong pelajar itu mencari pekerjaan, tetapi memberi peluang untuk mendalami ilmu. Kita merancang untuk mengeluarkan pemikir, pakar dan pakar rujuk,” katanya.

UIM juga akan memperkenalkan kursus-kursus pendek dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Prof Mohd Yusoff berkata kampus tetap UIM di kawasan 40.468 hektar di sini, dijangka siap sepenuhnya dalam lima tahun lagi, dengan fasa pertama yang melibatkan pembinaan masjid bakal siap hujung tahun ini.

Penubuhan UIM bermula pada 1955 menerusi Kolej Islam Malaya, iaitu pusat pengajian tinggi Islam pertama di negara ini yang ditubuhkan dengan perkenan Raja-Raja Melayu berlandaskan konsep waqaf.

Kolej itu kemudian dinaik taraf sebagai UIM dengan mendapat kelulusan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment