Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, August 28, 2014

No Comment

KALAU dinilai secara keseluruhan, bukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi Kelantan yang sepatutnya memenangi pertemuan pada saingan Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Namun situasi itu tidak berlaku, sebaliknya Kelantan pula yang terpaksa menelan kepahitan apabila kecundang 1-2 di tangan The Gladiators meskipun anak didik George Boateng menguasai hampir keseluruhan perlawanan tersebut.

Boateng bagaimanapun tampil mempertahankan prestasi pasukannya dengan memberitahu barisan pemainnya sudah mempamerkan aksi terbaik, namun nasib tidak memihak mereka apabila deretan peluang terhidang gagal menghasilkan jaringan.

Menurutnya, anak buahnya tidak wajar dipersalahkan di atas kekalahan tersebut memandangkan faktor nasib turut membantu skuad kendalian B Satiananthan meraih tiga mata pertama dalam perlawanan itu.

“Inilah bola sepak. Saya tidak mahu berfikiran negatif kerana pemain saya melakukan sesuatu di luar jangkaan, aksi mereka sungguh menakjubkan dalam tempoh 90 minit itu. Anda boleh lihat sendiri mereka bekerja keras untuk memenangi perlawanan ini.

“Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol, sehingga tidak terkira jumlahnya. Kami sepatutnya memenangi Piala Malaysia jika aksi pada malam ini ialah perlawanan akhir,” katanya pada sidang media sejurus perlawanan.

Penyerang Kelantan, Francis Forkey Doe meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-42, namun kelebihan itu dipadamkan ATM pada penghujung perlawanan menerusi jaringan Juan Manuel Arostegui (minit ke-77) dan Hairuddin Omar (minit ke-86).

Jurulatih kelahiran Ghana itu, turut memberi kredit kepada penjaga gol ATM, Syed Adney Syed Hussien yang beraksi cemerlang malam kelmarin, apabila menggagalkan beberapa percubaan berbahaya pemainnya dalam perlawanan itu.

“Kesudahannya, kami kehilangan mata penting hanya kerana ATM menjaringkan gol menerusi situasi bola mati, selebihnya mereka tidak mempunyai apa-apa (percubaan berbahaya) pun dalam perlawanan ini,” katanya.

Biarpun tewas, namun pengendali berusia 39 tahun itu, masih belum mahu menekan ‘butang panik’ sebaliknya memberitahu, beliau tetap optimis pasukannya masih berpeluang untuk mengisi salah satu slot ke suku akhir.

“Selepas ini, kami akan bertemu Pulau Pinang sementara Johor Darul Ta’zim (JDT) pula berdepan ATM. Dua perlawanan ini cukup menarik tetapi saya ingin jelaskan, kami akan terus fokus untuk mengalahkan Pulau Pinang dan JDT di Kota Bharu, nanti,” katanya. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment