Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, August 22, 2014

No Comment

PEMAIN badminton negara Cheam June Wei mengukir sejarah dalam temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) apabila berjaya menyumbang pingat emas pertama negara menerusi acara beregu campuran antarabangsa di Pusat Sukan Gimnasium di sini hari ini.
    
Pemain berusia 17 tahun itu mengakhiri kemarau pingat kontinjen negara apabila beliau dan gandingannya dari Hong Kong, Ng Tsz Yau mengalahkan gandingan Tsuneyama Kanta (Jepun)/Lee Chia Hsin (Taiwan) dalam straight set 21-14 dan 23-21 pada final.
    
Pingat gangsa diperoleh gandingan Angoda Vidanalage (Sri Langka)/He Bingjiao (China) selepas mengalahkan gandingan Narongrit Mek (Thailand)/Qin Jinjing (China), juga dengan straight set 21-16 dan 21-18.
    
June Wei yang ternyata gembira dengan kejayaan tersebut berkata kemenangan itu bukan milik peribadi dirinya sebaliknya perlu dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia yang telah banyak memberi sokongan moral kepada kontinjen negara.
    
"Sudah pasti sebagai rakyat Malaysia, saya cukup bangga dan bertuah kerana dapat membawa pulang pingat emas pertama negara di YOG 2014 dan saya berharap mampu meneruskan kejayaan yang sama pada kejohanan-kejohanan yang berikutnya selepas ini," katanya kepada Bernama.

June Wei mengaku bahawa beliau sedikit kecewa apabila terkandas di peringkat suku akhir dalam acara perseorangan lelaki setelah tewas 22-20, 18-21 dan 12-21 kepada pemain India, Joshi Aditiya, Rabu lepas.
    
Beliau berjanji akan memperbaiki kelemahan dalam acara individu apabila pulang ke tanah air nanti.
    
Ditanya sama ada akan memberi tumpuan kepada acara beregu selepas ini, June Wei berkata beliau tidak mungkin akan berbuat demikian  dalam masa terdekat ini kerana lebih berminat dengan acara perseorangan.
    
"Saya tetap akan main dalam acara perseorangan kerana badan saya tidak cukup kuat untuk bermain dalam acara beregu yang lebih memerlukan tenaga," katanya.
    
June Wei berkata beliau berterima kasih kepada jurulatih untuk YOG 2014, Zhou Kejin yang telah banyak memberi tunjuk ajar kepadanya selama ini.
    
"Beliau (Zhou) merupakan seorang jurulatih  yang berpengalaman dan bijak memberi arahan mengenai apa yang perlu dan tidak perlu saya lakukan ketika berada dalam  gelanggang," katanya,
    
Sementara itu, ketua kontinjen negara Wong Pei Tty menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu bonus kepada negara memandangkan Majlis Sukan  Negara (MSN) tidak meletakkan sebarang sasaran sebelum ini.
    
"Saya harap atlet negara mampu terus menyumbang pingat pada acara lain selepas ini memandangkan bahawa masih banyak lagi acara yang sedang berlangsung ketika  ini," katanya.
    
Pada edisi sulung Sukan Olimpik Remaja 2010 di Singapura, kontinjen negara berjaya membawa pulang dua pingat perak menerusi srikandi terjun negara, Pandelela Rinong dalam acara terjun 3 meter (m) papan anjal wanita dan juga 10m platform wanita. - Bernama

0 comments:

Post a Comment