Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, August 8, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat pembinaan Malaysia dan India bakal mengembangkan sayap menerusi kerjasama meneroka projek infrastruktur di kedua-dua negara dan juga di peringkat global hasil jalinan strategik antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia dengan National Buildings Construction Corporation Ltd (NBCC), syarikat pembinaan dan pemaju terbesar milik kerajaan India.

Perjanjian tersebut yang dimeteraikan minggu ini semasa lawatan ke Malaysia oleh delegasi NBCC yang diketuai pengerusi dan pengarah urusan Dr Anoop Kumar Mittal menggabungkan rekod prestasi yang terbukti CIDB Holdings Sdn Bhd, anak syarikat CIDB, dan  NBCC dalam pembinaan infrastruktur dan pembangunan bandar.

NBCC telah menerima status “Navratna” daripada Jabatan Perusahaan India (Department of Enterprise) pada 24 Jun tahun ini yang memberikan lebih autonomi dalam operasi dan kewangan syarikat itu di pasaran domestik dan global. NBCC  juga  syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Bombay (Bombay Stock Exchange) dan Bursa Saham Nasional (National Stock Exchange).

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan NBCC yang merupakan rakan kongsi yang kredible dalam strategi menang-menang . Ini akan meningkatkan peluang bagi syarikat-syarikat Malaysia untuk melaksanakan projek bersama-sama NBCC di peringkat global dengan menawarkan nilai pengalaman dan kepakaran kami berdua dalam projek-projek infrastruktur,” kata Ketua Eksekutif CIDB Dato’ Sri Ir Dr Judin Abdul Karim.

NBCC ditubuhkan pada 1960 di bawah Kementerian Pembangunan Bandar dan menyediakan perkhidmatan perundingan untuk projek pembinaan, pembinaan infrastruktur awam untuk sektor tenaga dan pembangunan hartanah.

Ia terlibat dalam 36 projek hartanah bernilai AS $1 bilion di seluruh India dan telah menyiapkan beribu-ribu rumah untuk tentera, penjawat awam dan golongan miskin  bandar, jambatan, fasiliti perubatan, institusi pendidikan, stesen rel metro, bangunan awam dan stadium sukan. NBCC menjejak ke luar negara pada 1977 dan telah membangunkan pelbagai projek di Oman, Bostwana, Nepal, Libya, Iraq, Yemen, Turki, Maldives dan Mauritius.

Memorandum persefahaman tersebut telah ditandatangani pada Isnin (4 Ogos) oleh Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Holdings Encik Abdul Latif Hitam dan Ketua Pengurus Besar NBCC Encik Nirmal Prakash Aggrawal. Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Encik Acquino Vimal dan para eksekutif syarikat-syarikat pembinaan besar Malaysia.

Perjanjian untuk tempoh lima tahun itu merangkumi  kerjasama yang luas dalam perancangan, reka bentuk, pembinaan, pengurusan dan pembiayaan projek-projek infrastruktur yang besar sama ada di Malaysia atau India, dan di rantau lain.

Dr Judin berkata daripada perbincangan awal dengan NBCC, terdapat pelbagai peluang di India seperti pembinaan lebuh raya, bandar-bandar bersepadu, projek perumahan, sistem pengangkutan awam gerak cepat dan lapangan terbang.

CIDB juga menekankan elemen nilai untuk menggunakan teknologi hijau dan pengurusan  sumber lestari yang dijangka membuka peluang kepada peserta industri kedua-dua negara.

“CIDB tentu akan melibatkan syarikat-syarikat pembinaan Malaysia yang utama dalam  usaha strategik ini. Sektor pembinaan merupakan komponen penting dalam pembangunan Malaysia dan India, pasti ini akan mempunyai kesan positif ke atas pembangunan industri pembinaan  kedua-dua negara, ” tambah Dr Judin.

Semasa lawatan tiga hari mereka, delegasi NBCC juga mengadakan perjumpaan dengan penggiat industri, antaranya Kumpulan Amona, IJM Corporation, Sime Darby Properties, WCT Holdings, Bina Puri Holdings, Sunway Berhad, Gamuda Bhd, UEM Group, Naza TTDI,  Kumpulan Scomi, Eversendai Corporation dan MRCB Bhd.

Mengenai CIDB

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ditubuhkan menerusi Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) bagi membina kapasiti dan kapabiliti industri pembinaan melalui peningkatan kualiti dan produktiviti dengan memberi penekanan kepada professionalisme, inovasi dan pengetahuan ke arah kehidupan yang berkualiti.

SUMBER: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama : Noryani Ismail
Tel  :  03-40477027 / 019-2856867
Emel : noryani@cidb.gov.my

Nama  : Nur Hanis Amsari
Tel   : 03-40477018 / 016-3836754
Emel  : hanis@cidb.gov.my

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment