Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, August 26, 2014

No Comment

“SAMPAI bila?”

Itulah persoalan yang bermain di fikiran penduduk di kampung-kampung berhampiran pusat penternakan babi Kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah.

Ini kerana isu ladang babi yang sering didakwa menjadi punca utama berlakunya pencemaran terutama di Sungai Tuang bukanlah suatu permasalahan baharu.

Malah, isu berkenaan sudah berulang kali ditimbulkan penduduk kampung berhampiran, terutama di Kampung Telok Gong dan Pengkalan Balak yang bukan sahaja terpaksa berdepan masalah pencemaran Sungai Tuang tetapi juga pencemaran bau dari kandang babi di sekitar kawasan Paya Mengkuang.

Sudah tidak tertahan menghidu bau busuk. Tekak loya... itulah ditanggung penduduk. Semuanya berpunca daripada kumbahan dari ladang babi berhampiran.

Tindakan segelintir penternak yang dikatakan gagal mewujudkan sistem kumbahan efektif di ladang mereka turut menyumbang kepada masalah sehingga berlanjutan sebegini lama.

Sebelum ini, kerajaan negeri pernah bertindak apabila mengarahkan pemilik ladang babi di Kampung Paya Mengkuang agar mengurangkan jumlah ternakan mereka dalam usaha menangani masalah pencemaran air dan bau di  kawasan berkenaan.

Malah, Ahli Parlimen ketika itu, Datuk Abu Seman Yusop pernah memberi amaran kepada mana-mana pemilik yang ingkar bahawa ladang mereka akan dimusnahkan kerajaan negeri.

Walaupun difahamkan ramai pemilik ladang yang akur dengan arahan itu, namun usaha ini seolah-olah tidak menyelesaikan masalah dihadapi apabila pencemaran air dan udara di kawasan berkenaan masih terus berlaku.

Isu kandang babi ini sekali lagi timbul apabila berlakunya wabak Ensefalitis Jepun (JE) di Pulau Pinang baru-baru ini, sekali gus membuatkan orang ramai tertanya-tanya sejauh manakah selamatnya puluhan kandang babi di Paya Mengkuang.

Persoalannya adalah, mengapa setelah sekian lama isu pencemaran air dan udara ini ditimbulkan penduduk kampung, masih belum ada sebarang penyelesaian konkrit dilakukan.

Salah satu sebab yang dilihat menjadi punca masalah ini berlanjutan adalah kerana ketiadaan undang-undang khas untuk mencegah perbuatan segelintir penternak ini membuang sisa kumbahan ke dalam Sungai Tuang.

Perlu undang-undang baharu

Bagaimanapun, kemelut ini dijangka dapat diatasi apabila Kaedah-kaedah Pelesenan Menternak Babi Negeri Melaka 2013 mula dikuatkuasakan awal tahun depan.

Kaedah-kaedah Pelesenan Menternak Babi Negeri Melaka 2013 ini merupakan satu usaha kerajaan negeri dalam menambah baik serta memberi lebih kuasa di bawah Enakmen Menternak Babi 1980 dalam menangani permasalahan sebegini dan mengelaknya daripada berlanjutan.

Ini kerana, antara lain, kaedah berkenaan memerlukan penternak mengikut syarat serta spesifikasi penternakan yang digariskan.

Ini termasuklah sistem pengurusan ladang dan kumbahan yang teratur, serta kebersihan ladang dan pengawalan pencemaran alam sekitar.

Buat masa ini, pemantauan secara berkala yang dijalankan kerajaan negeri menerusi Jabatan Veterinar Melaka lebih menjurus kepada memastikan penternak tidak memelihara haiwan berkenaan melebihi jumlah sedia ada, iaitu dianggarkan kira-kira 48,000 ekor.

Isu pencemaran dari ladang babi ini dilihat bukan sahaja membabitkan penduduk sekitar, namun turut boleh menjejaskan imej Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan memandang terdapat beberapa tarikan pelancong berhampiran Kampung Paya Mengkuang, termasuk Pengkalan Balak.

Malahan, sebelum ini pernah timbul kebimbangan orang ramai bahawa air Sungai Tuang yang dicemari najis babi itu berkemungkinan akan turut menjejaskan kawasan pantai Pengkalan Balak.

Ternyata setelah sekian lama berhadapan masalah ini, penduduk kampung berhampiran mengharapkan perundangan baharu yang akan berkuat kuasa tahun depan akan dapat menamatkan penderitaan mereka.

Hanya masa yang akan menentukannya. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment