Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, August 24, 2014


DIGI.COM BHD (DiGi) kini tersenarai dalam 100 Syarikat Paling Inovatif di Dunia 2014 oleh majalah Forbes.

Dalam satu kenyataan medianya, DiGi memaklumkan, ia adalah satu-satunya syarikat Malaysia dan pengendali telekomunikasi dari Asia yang terpilih ke dalam senarai itu.

Menurutnya, sebanyak 22 syarikat Asia memasuki senarai itu tahun ini dengan Jepun muncul pendahulu menerusi lapan syarikat, diikuti China enam syarikat, India lima syarikat dan masing-masing satu dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.

“Syarikat dari Amerika Syarikat (AS) menguasai senarai itu dengan 39 syarikat termasuk beberapa jenama terkenal dunia seperti Salesforce, Amazon.com, Netflix, MasterCard, Starwood Hotels dan Procter & Gamble.

“Ini kali kedua DiGi diiktiraf dalam senarai Forbes yang mana pada 2012, syarikat itu diiktiraf sebagai satu daripada 50 syarikat awam Asia Pasifik yang mencatat perdagangan terbaik dan dimasukkan dalam senarai Forbes untuk 50 syarikat terbaik Asia,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif DiGi, Lars Norling, berkata inovasi ialah satu daripada ciri utama syarikat dan sebahagian besar pertumbuhan yang dicatatnya adalah hasil daripada keupayaannya yang konsisten.

“Sejak beberapa tahun lalu, kami sudah mendapat pengiktirafan bukan hanya sebagai satu daripada jenama pilihan di Malaysia, tetapi juga secara konsisten memacu pertumbuhan menerusi inovasi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DiGi merangkap Ketua Telenor Group untuk Asia, Sigve Brekke, berkata untuk memperoleh penguasaan pasaran dalam sebuah negara yang memiliki kadar penembusan mudah alih yang begitu tinggi memerlukan tumpuan berterusan terhadap kehendak pasaran berteraskan budaya yang menjurus ke arah inovasi.

“DiGi memiliki kedua-duanya dan bersaing dalam pasaran telekomunikasi Malaysia dengan konsisten, memacu pertumbuhan untung dan pemikiran inovatif dalam budaya syarikat,” katanya.

Syarikat dalam senarai itu disusun kedudukannya berdasarkan kelebihan daripada aspek inovasi, yang mengukur sejauh mana pasaran saham menjangkakan sesebuah syarikat akan tampil dengan idea segar, bagaimana ingin menjana wang dan mengatasi prestasi perniagaan sedia ada mereka dalam tempoh beberapa tahun akan datang. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment