Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, August 22, 2014

No Comment

TIADA hadiah istimewa ulang tahun kelahiran buat ratu skuasy negara Datuk Nicol David dalam misi memburu gelaran kesembilan apabila gagal mara ke final Kejohanan Terbuka Malaysia CIMB 2014 di sini hari ini.
   
Nicol, yang bakal menyambut hari jadinya ke-31, Selasa ini, mengalami kekalahan mengejut kepada pemain nombor tiga dunia, Raneem El Weleily, selepas membuka saingan separuh akhir dengan langkah kanan di pusat membeli-belah NU Sentral Mall di sini.
   
Nicol, selaku pilihan utama dan juga pemain nombor satu dunia, menang set pertama 11-7 sebelum lawannya berusia 25 tahun dari Mesir itu bangkit untuk menang set kedua 11-6.
   
Walaupun menerima sokongan padu penonton di halaman sendiri, Nicol seolah-olah hilang momentum apabila menyaksikan Raneem terus memungut mata demi mata untuk menang dua set berikutnya dengan 11-8 dan 13-11.
   
Pada final esok, Raneem akan berdepan dengan rakan senegara berusia 21 tahun, Nour El Tayeb.
   
Nour, pemain ranking ke-25 dunia, menempah slot final selepas hanya mengambil masa 26 minit untuk menyingkirkan Amanda Sobhy dari Amerika Syarikat dengan 11-9, 11-9 dan 11-3.
   
"Raneem menampilkan permainan yang amat baik hari ini. Saya fikir jika dia tahu sekiranya tidak memberi tekanan dan tidak bermain dengan baik, saya sudah pasti akan mengawal perlawanan.
   
"Perlawanan ini memang padat dan dia tidak beri ruang untuk saya meningkatkan tahap permainan. Beliau juga begitu fokus dengan pukulan dan pukulan singkatnya turut menjadi," kata Nicol.
   
Kekalahan itu merupakan kedua buat pemain kelahiran Pulau Pinang itu di halaman sendiri tahun ini selepas kalah kepada pemain Mesir berusia 18 tahun, Nour El Sherbini pada separuh akhir Kejohanan Dunia di Pulau Pinang, Mac lepas.
   
Nicol kini akan memberi tumpuan kepada Terbuka Hong Kong bermula Ahad ini sebelum ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, bermula 19 Sept ini.
   
Bagaimanapun, beliau tidak akan menyertai Terbuka China dari 2 hingga 7 Sept ini berikutan kekangan masa untuk persiapan menghadapi Sukan Asia.
   
Sementara itu dalam final acara lelaki,  pilihan utama, Mohamed El Shorbagy dari Mesir berdepan dengan pemain Hong Kong, Max Lee.
   
Pada saingan separuh akhir, El Shorbagy, yang juga pemain nombor tiga dunia, mengambil masa 47 minit untuk mengalahkan rakan senegara Tarek Momen 11-7, 11-7 dan 11-7.
   
Max pula terpaksa bertarung selama sejam untuk menempah slot final dengan menewaskan pemain Sepanyol Borja Golan dengan 7-11, 11-7, 11-8 dan 11-7. - Bernama

0 comments:

Post a Comment