Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, August 26, 2014

No Comment

Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat semalam dikejutkan pengakuan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang beliau menawarkan Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali menyertai PAS bersama beberapa rakannya bagi membentuk kerajaan bersama di Selangor.

Namun, tawaran itu kemudiannya ditolak Azmin.

Menurut seorang AJK PAS Pusat yang menyertai mesyuarat semalam, Hadi mengesahkan perkara itu setelah ditanya oleh ahli Parlimen Sepang, Mohamad Hanipa Maidin tentang perkara itu.

Ia diikuti pertengkaran hangat antara Hadi dan Hanipa.

AJK PAS Pusat itu mengesahkan kepada The Malaysian Insider pengakuan Hadi itu ekoran tersebarnya maklumat dalam laman sosial kononnya PAS menawarkan jawatan menteri besar kepada Azmin untuk membolehkan kerjasama dibuat dengan Adun PAS, Umno dan Tan Sri Khalid Ibrahim bagi membentuk kerajaan.

Menurut sebaran itu, isu itu bermula dalam mesyuarat semalam apabila seorang AJK PAS Pusat bertanya kepada presiden adakah benar perkhabaran beliau dan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali mengadakan pertemuan dengan Azmin.

Presiden mengatakan perkhabaran itu benar.

“Kalau PKR boleh curi wakil rakyat PAS maka PAS pun boleh berbuat perkara yang sama,” kata Hadi, menurut sebaran itu.

AJK yang sama bertanya lagi isi kandungan perbincangan dengan Azmin, lalu dijawab yang Azmin diajak menyertai PAS bersama dua atau tiga orang lagi Adun PKR.

AJK yang sama menyambung pertanyaan, “Kalau dicampur PAS yang 13 orang dengan Azmin dan 2 orang Adun PKR, bilangan cuma 16 orang. Bagaimana hendak mengadakan kerajaan?”

Belum sempat Hadi menjawab, seorang AJK lain mencelah dan bertanya adakah presiden bersetuju bekerja sama dengan Umno.

“Lantas presiden menyatakan persetujuan, malahan presiden memberikan alasan menjaga Melayu sebagai asas perpaduan,” kata sebaran itu yang disahkan kebenaran sebahagian besar isi kandungannya oleh AJK PAS Pusat itu kepada The Malaysian Insider.

Azmin ketika ditemui wartawan semasa Kongres PKR hujung minggu lepas mengakui beliau ada berbincang dengan Hadi sehari dua sebelum itu.

Antara kandungannya, kata Azmin, adalah mengenai pilihan raya kecil Pengkalan Kubor.

Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan, Hadi berkeras dalam mesyuarat itu yang Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak boleh dicalonkan sebagai menteri besar Selangor kerana dia wanita dan kerana dia juga tidak layak.

Tindakan Hadi ini jauh berbeza dari sikapnya dalam mesyuarat 17 Ogos lepas apabila beliau sendiri yang mencadangkan nama Dr Wan Azizah dan Azmin untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor sebagai calon menteri besar Selangor.

Pencalonan Azmin pula ditolak oleh 13 Adun PAS Selangor yang masih tinggal selepas dua dari mereka menyokong pencalonan Dr Wan Azizah.

Ekoran tindakan dua Adun PAS itu, Khalid hilang peluang untuk kekal sebagai menteri besar kerana bilangan penentang beliau membentuk majoriti iaitu 30 dari 56 kerusi dalam DUN Selangor.

Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib) berpecah dari kelompok PAS apabila mengisytiharkan sokongan mereka kepada Dr Wan Azizah atas dasar untuk menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Dalam sidang media selepas mesyuarat AJK PAS Pusat semalam, Mustafa berkata, mesyuarat mengambil keputusan menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan Selangor melantik menteri besar yang baru.

0 comments:

Post a Comment