Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, August 18, 2014

No Comment

KOTA BAHARU – Hospital swasta di negara ini diminta melibatkan diri sebagai Hospital Rakan Bayi dengan menyediakan kemudahan infrastruktur sewajarnya demi menjayakan program penyusuan ibu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata setakat ini hanya 13 daripada 175 hospital swasta diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi berbanding kesemua 127 hospital kerajaan yang telah mendapat pengiktirafan tersebut.

“Menyediakan persekitaran dan anggota yang terlatih dapat membantu ibu memulakan penyusuan susu ibu kepada bayi mereka sebaik selepas kelahiran sehingga bayi tersebut berusia enam bulan,” kata Subramaniam.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2014 Peringkat Kebangsaan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di sini, Isnin.

Menteri itu berkata selain kemudahan infrastruktur, hospital berkenaan juga perlu melaksanakan kempen penyusuan susu ibu agar ibu tidak memilih susu lain dalam tempoh bayi dilahirkan sehingga berusia enam bulan.

“Sebanyak 95 peratus ibu di Malaysia pada awal kelahiran menyusukan bayi mereka dengan susu ibu.

“Namun, hanya 16 peratus yang kekal menyusukan bayi mereka sehingga berusia enam bulan,” katanya.

Subramaniam berkata susu ibu bukan sahaja makanan terbaik untuk bayi tetapi juga ia dapat melindungi bayi daripada risiko kegemukan dan penyakit tidak berjangkit.

Sementara itu, beliau meminta sektor swasta mengikut langkah sektor awam menyediakan pelbagai kemudahan kepada pekerja mereka untuk menyusukan bayi pada waktu bekerja seperti menyediakan pusat jagaan bayi di tempat kerja.

“Kerajaan juga menggalakkan penyediaan kemudahan kawasan mesra bayi di tempat awam termasuk di pusat membeli belah untuk kemudahan ibu menyusukan bayi mereka,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment