Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, August 9, 2014

No Comment

KEPALA BATAS – Kementerian Pendidikan akan menubuhkan 10 lagi Kolej Komuniti pada tahun depan bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam proses pendidikan negara.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata sehingga kini sebanyak 90 Kolej Komuniti di seluruh negara dan pihaknya menyasarkan 100 Kolej Komuniti pada tahun 2015.

Katanya penambahan Kolej Komuniti itu akan membawa kepada penawaran lebih banyak program berteraskan ‘teknologi tinggi’ dan ‘nilai tinggi’ sejajar dengan keperluan industri semasa dan komuniti setempat.

Kursus-kursus yang akan ditawarkan kelak bergantung kepada kehendak setempat dan pihaknya sudah menyenarai pendek beberapa lokasi, namun masih belum dimuktamadkan, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Lebaran Qaseh 2014: Kolej Komuniti bersama Industri, Usahawan dan Komuniti di Kolej Komuniti Kepala Batas, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Datuk Amir Md Noor.

Idris berkata, sehingga kini sebanyak 1.3 juta rakyat Malaysia yang berumur antara 13 dan 70 tahun mengikuti latihan dan kursus pendek di Kolej Komuniti seluruh negara.

Beliau berkata kebolehpasaran graduan Kolej Komuniti mencapai peratusan yang amat membanggakan iaitu 91.3 peratus, menunjukkan bahawa graduan lulusan Kolej Komuniti mempunyai nilai tambah dan berdaya saing.

Pada majlis itu Idris turut melancarkan dua buah buku iaitu ‘Kolaborasi Strategik Kolej Komuniti’ dan ‘Industri dan Usahawan Kolej Komuniti’ yang menghimpunkan kerjasama pintar Kolej Komuniti dengan industri dan usahawan yang berjaya dilahirkan oleh kolej berkenaan.

Sementara itu, mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang menggesa kerajaan memperkasa sistem pendidikan di sekolah kebangsaan (SK) bagi menyaingi kualiti pembelajaran sekolah vernakular, Idris berkata kerajaan komited untuk menambah baik sistem pendidikan SK melalui program-program yang sedang dilaksanakan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Beliau berkata, dengan usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan, beliau percaya SK akan menjadi pilihan sekali gus menempatkan SK antara sekolah terbaik di dunia menjelang tahun 2025.

“Kita akan perbaiki, asasnya adalah kualiti guru, sekolah, murid serta pengajaran dan pembelajaran,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment