Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, August 16, 2014

No Comment

PONTIAN – Kerajaan akan tetap meneruskan misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sekalipun tumpuan seluruh negara kini terhadap tragedi pesawat MH17, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurutnya, seluruh dunia kini memberi tumpuan terhadap Malaysia berhubung tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine bulan lepas, namun itu tidak bermakna usaha pencarian MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas dihentikan.

Malah katanya, beliau akan berlepas ke Australia hujung bulan ini bagi memastikan misi pencarian MH370 berjalan lancar.

“Saya masih menunggu pengesahan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengenai kedudukan terkini kapal KD Mutiara dan Bunga Mas 5 sebelum saya berlepas ke Perth.

“Saya ingin memberi semangat kepada anggota kita selain sebagai isyarat kepada ahli keluarga mangsa bahawa dalam kesibukan mengenai MH17, kita tidak lupa terhadap pencarian MH370 yang masih diteruskan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tanjong Piai di sini, hari ini.

Penerbangan MH370 ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada radar pada 8 Mac, sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA). Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Analisis data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di selatan Lautan Hindi, di barat Perth.

Mengenai mangsa nahas MH17, Hishammuddin berkata, kerajaan sudah bersedia untuk menyambut ketibaan 16 jenazah dari Amsterdam, Belanda yang dijangka tiba di tanah air 22 Ogos ini.

Katanya, lima helikopter Nuri dan dua pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan digunakan bagi membawa jenazah ke kampung halaman masing-masing untuk disemadikan termasuk dua jenazah daripada Johor.

“Selepas upacara penghormatan di Kuala Lumpur, jenazah dari Pagoh, Muar dan Segamat akan dibawa menaiki helikopter Nuri ke kampung masing-masing.

“Saya berharap, semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama dan fahaman politik dapat memberi penghormatan secara tertib terhadap mangsa,” katanya.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh, namun setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment