Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, August 16, 2014

No Comment

NANJING – Pemain perseorangan wanita pelapis badminton negara di temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014), Lee Yin Yin tidak gentar biarpun akan berdepan pemain nombor dua dunia Jiao He Bing dari China pada saingan awal kumpulan ‘H’ esok di Institut Sukan Gimnasium Nanjing.

Malaysia melalui jalan sukar apabila berada dalam kumpulan H bersama-sama pasukan tuan rumah iaitu China, Austria dan Slovenia.

Lee, 17, berkata beliau telah bersedia untuk menghadapi Jiao kerana baginya tiada istilah menyerah kalah sebelum tamat perlawanan.

“Saya akan cuba sedaya upaya mengumpul mata awal esok bagi mendapat kedudukan selesa untuk mengusai perlawanan, jika tidak peluang untuk raih mata adalah sukar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pemain ranking ke-17 remaja dunia itu berkata beliau telah bersedia sepenuhnya untuk turun padang esok setelah menjalani latihan persiapan rapi di bawah bimbingan jurulatih remaja negara, Zhou Kejian yang berasal dari China.

Lee berkata sasaran peribadinya adalah untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir kejohanan.

“Saya fikir kami tidak mempunyai masalah untuk melangkah ke separuh akhir kerana kejohanan ini adalah acara berkumpulan, apa yang penting adalah saya dan rakan sepasukan, Cheam Jun Wei (perseorangan lelaki) meraih mata awal,” katanya.

Lee yang akan turut beraksi dalam acara beregu campuran di kejohanan tersebut berkata beliau memasang impian untuk menjadi penyumbang pingat emas pertama negara pada satu hari nanti.

“Saya perlu lakukan secara bersungguh-sungguh bermula hari ini jika ingin pergi jauh dan akan menjadikan pengalaman beraksi di YOG 2014 sebagai bekalan yang paling berharga sebelum bersedia untuk menghadapi cabaran lebih besar di peringkat sukan Olimpik satu hari nanti,” katanya.

Menceritakan bagaimana beliau terjebak dengan sukan badminton, Lee berkata beliau pada mulanya tidak pernah terfikir untuk menceburi sukan badminton, namun mula jatuh cinta dengan sukan tersebut lapan tahun lepas.

“Secara kebetulan ketika pertama kali bermain badminton dengan rakan-rakan saya berkenalan dengan jurulatih bernama Alex Du dan beliau telah banyak memberi tunjuk ajar kepada saya sehingga mampu mencapai tahap ini”.

Lee yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini berkata beliau tetap membawa buku pelajaran ke Nanjing dan akan mengulang kaji pelajaran apabila mempunyai masa .

Malaysia hanya menghantar dua atlet bagi acara badminton pada edisi kali ini iaitu Lee dan Cheam yang masing-masing beraksi dalam acara perseorangan wanita, perseorangan lelaki dan beregu campuran. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment