Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, August 14, 2014

No Comment

BUTTERWORTH – Anak kepada anggota polis yang bertugas di Balai Polis Bukit Kepong, Muar menyatakan rasa marah dan sedih terhadap kandungan ceramah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang menyentuh isu komunis Bukit Kepong pada Ogos 2011.

Nazir Yussoff, 57, anak kepada Allahyarham Sarjan Yusoff Rono, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, beliau berasa satu penghinaan kepada anggota polis apabila Mohamad, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, memfitnah anggota polis dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950.

“Sayu hati apabila bapa dituduh sebagai pengganas. Perjuangan bapa saya dan anggota polis yang terlibat adalah mempertahankan Bukit Kepong. Kerana jasa mereka kita dapat menikmati kemakmuran dan keamanan sehingga kini. Mereka seperti tidak menghargai dan bersyukur atas apa yang kita nikmati sekarang.

“Demi mempertahankan Bukit Kepong ramai anggota polis terkorban. Jika arwah bapa saya dengar (ceramah Mat Sabu) pasti akan berperang kali kedua,” katanya dan menambah ketika serangan itu bapanya berumur 28 tahun.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi hari ini.

Mat Sabu, 59, didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Feb 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.



Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.

Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman  penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pada perbicaraan itu mahkamah turut ditayangkan petikan laporan berita mengenai ceramah Mat Sabu itu yang disiarkan Buletin Utama TV3 pada 28 Ogos 2011.

Nazir berkata beliau mengetahui berhubung ceramah itu menerusi Buletin Utama dan membuat laporan polis pada 5 Sept 2011.

Ketika ditanya peguam Mohamed Hanipa Maidin, yang mewakili Mat Sabu, berhubung kelewatan beliau membuat laporan polis, Nazir berkata: “Apabila saya menonton berita itu, saya berfikir panjang kenapa ia berlaku. Bila saya rasa tak ada kepuasan (jawapan mengenai ceramah itu), baru saya buat laporan polis”.

Beliau berkata ketika serangan itu bapanya mengalami kecederaan selepas ditembak di bahu kiri dan kedua-dua kaki, namun terselamat dalam serangan itu.

Yusoff meninggal dunia pada 2003 ketika berusia 81 tahun.

Dalam pada itu, Nazir turut mempersoalkan sesetengah pihak yang mengangkat Mohamad (Ahmad) Indera Mat Indera yang mengetuai serangan di balai polis itu sebagai seorang pejuang kebebasan.

“Kenapa dia (Mat Indera) sanggup bunuh orang yang menjaga tanah air, tidak buat apa-apa kejahatan. Kenapa kita nak sanjung orang macam ini,” katanya.

Sementara itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah membenarkan perbicaraan kes itu diadakan di Mahkamah Petaling Jaya, Selangor kerana saksi ketujuh iaitu bekas Ketua Polis Daerah Pagoh Datuk Seri J.J Raj yang berusia 91 tahun tidak boleh berjalan jauh.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan itu dan menetapkan perbicaraan bersambung 12 Sept ini.- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment