Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, August 12, 2014

No Comment
Erdogan (kanan) dan Mursi mempunyai persamaan kerana kedua-dua mereka berusaha membela nasib penduduk Palestin.
SELEPAS sebulan pertempuran berlaku antara Gaza dan Israel, lebih lima kali gencatan senjata dikuatkuasakan. Bermula dari sejam hingga mencecah 72 jam namun sehingga kini peperangan tetap berlaku.

Mesir di bawah pimpinan Presiden Abdel Fatah Al-Sisi hanya menawarkan lokasi rundingan yang dikatakan penuh dengan agenda tersembunyi bersama sekutunya Amerika Syarikat (AS)  manakala negara lain di seluruh dunia termasuk Malaysia pula mengecam tindakan kejam rejim Zionis dengan cara memboikot dan berdemonstrasi. 

Erdogan, Mursi, Al Sisi

Kelmarin, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menawarkan penginapan dan bantuan kecemasan buat penduduk Palestin. 

Beliau juga sebelum ini menawarkan kapal perang untuk mengiringi dan mengawal kapal bantuan seperti Freedom Flotilla ke Gaza dari diserang Israel seperti sebelum ini. 

Erdogan dilihat mempunyai persamaan dengan bekas Presiden Mesir digulingkan Mohammed Mursi yang kini berada dalam tahanan.

Mursi sebelum ini pernah menghulurkan bantuan dengan menjadi perantara antara Hamas dan Israel selepas kedua-dua pihak bertelagah untuk menerima gencatan senjata kekal susulan daripada insiden Perang Lapan Hari pada November 2012.

Dua tahun kemudian, selepas Mursi digulingkan, Gaza kembali berdarah dengan penuh episod luka hingga sekarang.

Kini, dapatkah Gaza bebas semula seperti yang pernah diusahakan Mursi? Selepas konflik makin kritikal, AS, Liga Arab dan Kesatuan Eropah mula bersuara meminta Al-Sisi menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut itu.

Mereka berharap Al-Sisi dapat melakukan satu keputusan seperti mana yang dicapai oleh Mursi. 

Namun, usaha itu dilihat gagal dan penuh dengan halangan ditambah pula dengan pelbagai helah Israel hingga menyebabkan 1,940 penduduk Palestin terbunuh.

Melihat keadaan itu, Erdogan dengan lantang melakukan tindakan sendiri dengan menawarkan bantuan yang disifatkan sebagai keputusan ‘berani mati’.

Sejurus diisytiharkan memenangi pilihan raya presiden pertama Turki semalam, Erdogan yang bakal meneruskan pemerintahannya dalam tempoh lima tahun berkata, misi utama beliau kini adalah membebaskan Gaza.

Kehadiran Erdogan mencemaskan semua pihak

Bagaimanapun, kredibiliti Erdogan dalam menangani masalah politik dalaman negaranya dipersoalkan banyak pihak.

Beliau dikatakan gagal menyelesaikan krisis dalaman negara sendiri tetapi kini sibuk untuk campur tangan dengan konflik di Palestin.

Percubaan beliau itu menimbulkan kemarahan banyak pihak terutama Israel dan Fatah.

Fatah dan Mesir melahirkan kebimbangan mengenai kedudukan Turki sebagai perantara kerana dengan jelas akan menyokong Hamas seperti yang dilakukan Mursi ketika peperangan tercetus pada 2012.

Beliau sebelum ini pernah menegaskan sokongan Ankara terhadap Hamas adalah bertujuan untuk  mempertahankan perjuangan rakyat Palestin.

Realitinya ketakutan Israel semakin terserlah selepas insiden serangan kapal Mavi Marmara pada 2010 yang mengorbankan sembilan aktivis Turki.

Kejadian itu telah menyebabkan hubungan antara Tel Aviv dan Ankara menjadi lebih buruk serta sokongan terhadap Palestin semakin kuat.

Bagaimanapun, kedua-dua negara tersebut masih menjalinkan hubungan rangkaian ekonomi dan pesawat  Israel masih boleh menggunakan Istanbul sebagai pintu masuk utama mereka kepada dunia luar.

Mampukan Erdogan?

Kemenangan beliau sebagai presiden selepas meraih 52 peratus undi menewaskan pesaingnya, Ekmeleddin Ihsanoglu dengan 38.3 peratus diikuti pesaing ketiga, Selahattin Demirtas dengan 9.7 peratus undi dilihat mampu memenuhi hasrat itu.

Beliau yang bercita-cita mengubah kerajaan Turki kepada satu landskap politik di mana presiden mempunyai kuasa eksekutif, dengan dirinya sebagai pemimpin negara itu diyakini mampu melaksanakan perubahan terutama dalam hubungan antarabangsa.

Walaupun beliau dibenci Israel dan AS selepas dengan lantang mengaku anti-AS, beliau tetap mendapat kepercayaan rakyatnya terutama dalam apa jua tindakan yang akan dilakukannya.

Reaksi awal selepas bergelar Presiden semalam, rata-rata rakyat bersetuju dan mengalu-alukan kehadiran mangsa cedera dari Gaza yang diterbangkan ke Ankara.

Apakah tindakan ini dilihat sebagai cabaran buat Israel atau satu gertakan awal Erdogan buat negara Barat?

0 comments:

Post a Comment