Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, August 16, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Sekarang adalah masa yang sesuai untuk Malaysia Airlines (MAS) menstrategi, menstruktur dan menyusun semula syarikat itu menerusi penyahsenaraian dan pengambilalihan sepenuhnya syarikat penerbangan yang sedang ‘sakit’ itu oleh Khazanah Nasional Bhd.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz bagaimanapun berkata, Khazanah Nasional tidak dapat mengembalikan kedudukan MAS untuk mencatat keuntungan dengan cepat selepas penyusunan semula itu memandangkan wujud ketidaktentuan dalam pasaran antarabangsa selain persaingan sengit dalam industri penerbangan.

Beliau berkata, objektifnya adalah untuk mewujudkan syarikat yang lebih kukuh, entiti yang lebih mantap yang memenuhi jangkaan industri yang penuh dengan persaingan sengit.

Kelebihan bagi cabang pelaburan kerajaan itu dengan menguasai 100 peratus MAS ialah ia mempunyai kebebasan dalam memulihkan MAS secara menyeluruh, intensif dan meluas.

“Ini perlu dilakukan tanpa kawal aturan dan peraturan lain, jika ia masih sebuah syarikat senaraian awam, langkah yang penting memandangkan pada pendapat saya MAS mesti kekal menjadi kebanggaan negara.

“Kita mesti membawanya ke tahap yang membolehkan kita berbangga terhadap MAS sebagai syarikat penerbangan. Kita sudah terbiasa dengannya, terutama generasi saya,” kata Rafidah kepada BERNAMA ketika mengulas mengenai perkembangan terkini MAS.

Khazanah Nasional dijangka membayar 27 sen sesaham atau RM1.38 bilion untuk mengambil alih baki 30.6 peratus saham yang tidak dimilikinya dalam MAS

Ditanya mengenai harga yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti itu, Rafidah enggan mengulas, namun berkata Khazanah Nasional sudah semestinya menjalankan penyelidikan ke atas nilai yang ditawarkannya dan orang ramai tidak perlu memperkatakannya.

Rafidah yang juga Pengerusi AirAsia X Bhd berkata, rancangan untuk menyahsenarai dan membeli semula saham MAS adalah langkah pertama yang besar dan penting.

Penyusunan semula perlu dilakukan secara menyeluruh supaya ia boleh disepadukan dalam entiti yang memberi perkhidmatan bukan saja kepada rakyat Malaysia, malah kepada dunia.

Bagaimanapun, pemulihan dari segi kewangan tidak dijamin sepenuhnya memandangkan industri penerbangan sangat kompetitif seperti yang dibuktikan oleh syarikat penerbangan tambang rendah yang menembusi industri itu secara besar-besaran, katanya.

Ini diburukkan lagi oleh ketidaktentuan kos disebabkan oleh peningkatan kos bahan api jet.

Berdasarkan senario ini, beliau berkata ia menjadi lebih mudah untuk memahami dan menerima hakikat jika MAS rugi berdasarkan faktor pasaran dan bukan disebabkan kelemahannya sendiri.

MAS mencatat kerugian bersih sebanyak RM433 juta dalam suku pertama tahun ini, 59 peratus lebih daripada RM279 juta kerugian yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Selain kerugian kewangan, syarikat penerbangan nasional itu juga mengalami dua tamparan hebat apabila MH370 Boeing 777 hilang pada 8 Mac dan MH17 B777 lain ditembak jatuh di zon perang di timur Ukraine pada 17 Julai.

Rafidah berkata, bidang yang perlu diteliti bagi mencergaskan semula MAS termasuk struktur kewangan, pengurusan organisasi selain strategi perniagaannya.

Mengenai cadangan MAS menjalankan operasi syarikat penerbangan kos rendah, beliau berkata: “Langkah itu tidak bagus untuk MAS, kerana anda boleh serahkan penerbangan kos rendah kepada operator kos rendah. MAS perlu kekal sebagai model syarikat penerbangan legasi, dan mengkaji semula semua perniagaan yang dijalankan, selain perniagaan terasnya, bagi meningkatkan keuntungan.”

Beliau berkata, MAS juga perlu melihat hubungan antara perniagaan teras dengan perniagaan lain yang dijalankannya bagi menilai sama ada sebahagian operasinya perlu disumberluarkan atau dibubarkan.

Beralih kepada kesatuan sekerja MAS, Rafidah berkata tiada apa yang salah mengenainya namun mungkin kesatuan perlu memahami kedudukan MAS dan arah tujunya.

“Kesatuan perlu menerima apa sahaja perubahan yang perlu dilakukan (untuk mencatat keuntungan) kerana tindakan itu sangat penting,” katanya.

Beliau berkata, urusan yang menjangkaui kawalan MAS seperti peningkatan kos bahan api dan caj lapangan terbang tidak boleh dipertikaikan.

“Apa yang dalam kawalan kita, kita boleh kawal, dan kita tambah untuk membantu untuk memulihkan dan mengekalkan pertumbuhan hasil dan keuntungan.

“Tiada siapa harus menjangkakan MAS mencatat keuntungan sebaik saja ia disusun semula memandangkan industri penerbangan tidak memperoleh keuntungan segera.

“Jangan mengharapkan Khazanah Nasional dapat memulihkan MAS secara itu, kerana MAS bukan kilang,” katanya sambil menekankan bahawa industri penerbangan sangat kompetitif, sama ada ia syarikat penerbangan legasi atau syarikat penerbangan kos rendah.

“Inovasi perlu dilakukan dengan betul, yang membabitkan penstrukturan dan penyusunan semula, sama ada lebih kukuh di peringkat atasan atau terlalu ramai pekerja. Kita perlu kukuhkannya untuk melihat kemungkinan menyumber luar perkhidmatan, sama ada berkesan dari segi kos untuk menggabungkannya atau mengurusnya sendiri,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment