Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, August 26, 2014

No Comment

LUMUT – Kapal auxiliary Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Bunga Mas 6 (BM6) yang menyertai misi bantuan logistik bagi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi sejak 8 Mac lepas, selamat kembali ke tanah air.

Kepulangan kapal itu disambut Panglima Armada Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli serta anggota keluarga anak kapal di Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut di sini, pada 9 pagi tadi.

Pegawai pemerintah BM6 Komander J. Kuharaj berkata selain faktor keluasan dan kedalaman, keadaan cuaca yang tidak menentu serta ombak ganas antara cabaran paling getir yang dihadapi anak kapal.

“Kami sedar cabaran yang ditempuh. Namun, bagi saya dan anak kapal, semua cabaran itu harus dihadapi kerana tugas utama kami adalah mencari pesawat MH370 dalam apa jua keadaan,” katanya ketika ditemui pemberita di jeti berkenaan hari ini.

Beliau tidak menafikan beberapa anggota anak kapal BM6 kurang bersemangat apabila berdepan pelbagai cabaran pada peringkat awal operasi namun, selepas beberapa hari, semangat mereka kembali pulih dengan moral yang tinggi demi negara dan meneruskan misi bantuan itu.

BM6 diketuai oleh Kuharaj dengan 25 anak kapal terdiri petugas syarikat perkapalan Malaysian International Shipping Corporation (MISC) yang diserap ke dalam Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM).

Turut serta dalam misi bantuan berkenaan adalah seorang anggota dan pegawai perubatan daripada pasukan Tentera Darat.

BM6 merupakan kapal TLDM kelapan yang menyertai pasukan antarabangsa dari pelbagai negara untuk mencari pesawat malang itu.

Kapal sokongan itu yang memulakan pelayaran pada 16 April lepas dan selesai menjalani misi bantuan selama 134 hari.

Operasi BM6 dikendalikan sepenuhnya oleh PSSTLDM melalui perkongsian strategik antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi awam dalam kejadian yang melibatkan kepentingan negara.

Pendekatan ini memberi pendedahan yang amat berguna kepada anggota PSSTLDM dalam melaksanakan misi bantuan berkenaan.

Pengoperasian BM6 dalam misi bantuan berkenaan merupakan penugasan penting dalam mendokong konsep pertahanan menyeluruh sejak BM6 ditransformasikan sebagai kapal auxiliary TLDM.

Selain BM6, KD Lekiu antara kapal TLDM yang turut berada di selatan Lautan Hindi bagi tujuan pencarian pesawat MH370.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment