Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, August 19, 2014

No Comment

KAHERAH – Pejuang Kurdish kelmarin berjaya menguasai semula Empangan Mosul daripada kawalan kumpulan militan Negara Islam (IS) selepas dibantu serangan udara tentera Amerika Syarikat (AS), kata seorang pegawai Kurdish.

“Pejuang Kurdish Peshmerga kini menguasai penuh empangan berkenaan,” kata portal berita Alsumaria yang memetik satu sumber pegawai Kurdish yang enggan dikenali.

Pesawat AS terus mengebom posisi pejuang IS di sekitar empangan ketika pejuang Kurdish cuba menawan kedudukan berkenaan.

Pusat Kawalan AS mengesahkan jet pejuang dan dron negara itu melancarkan 14 serangan udara ke arah kedudukan IS berhampiran Empangan Mosul.

Serangan tersebut memusnahkan 10 kenderaan bersenjata, tujuh Humvee, dua kenderaan pembawa anggota dan satu pos kawalan. Bagaimanapun, tiada laporan kecederaan dilaporkan.

Seseorang ahli Kesatuan Patriotik Kurdistan, Abdel-Bari al-Zebari mengesahkan pengambilalihan oleh Kurdish.

“Pejuang Kurdish Peshmerga kini kembali menguasai empangan melalui laluan lain selepas laluan sebelum ini dipasang dengan periuk api oleh militan IS,” kata al-Zebari kepada penyiar yang berpangkalan di Dubai.

Empangan tersebut dan kompleks diseklilingnya merupakan satu kawasan strategik kerana ia membekalkan tenaga elektrik serta bekalan air di sebahagian besar negara itu.

Kejayaan menawan semula empangan berkenaan merupakan kemenangan besar pertama pejuang Kurdish dan tentera Iraq sejak pertempuran sengit dengan militan IS.

Ia juga secara tidak langsung menaikkan semula moral pejuang Kurdish yang sebelum ini terpaksa berundur selepas militan IS menguasai Mosul.

Awal bulan ini, kumpulan serpihan Al-Qaeda tersebut menawan Empangan Mosul yang merupakan empangan terbesar dan strategik di Iraq yang terletak di Sungai Tigris yang mengalir ke Baghdad.

Terdapat kebimbangan kumpulan militan itu mengebom empangan tersebut sekali gus menyebabkan berlaku banjir di kawasan berdekatan.

Sebelum ini, seorang pegawai pejuang Kurdish dalam satu kenyataan memberitahu, mereka melancarkan serangan darat secara besar-besaran ke arah kedudukan militan IS di utara Iraq dan dibantu serangan udara AS.

Sebuah portal berita Kurdish, Bas News melaporkan, pejuang Kurdish berjaya mengambil alih beberapa kawasan kampung yang kebanyakannya dihuni oleh penduduk Kristian serta beberapa buah bandar lain berhampiran Empangan Mosul.

Laporan itu dibuat sehari selepas serangan udara oleh tentera AS terhadap kedudukan militan IS sekitar Empangan Mosul dan bandar Arbil.

Tentera AS mula melancarkan serangan terhadap kedudukan militan IS di utara Iraq sejak 10 hari lalu kerana bimbang pejuang Kurdish tidak mampu membendung kemaraan kumpulan berkenaan.

Sementara itu, seorang jurucakap tentera Iraq memberitahu bahawa pihaknya dan pejuang Kurdish sedang merancang untuk menawan semula bahagian utara bandar Mosul yang dikuasai IS.

“Kami berazam meneruskan serangan yang dibantu dengan maklumat risikan yang diberikan AS,” kata jurucakap berkenaan.

Militan IS yang beroperasi di Iraq dan Syria menawan sebahagian besar bahagian utara Iraq selepas melancarkan satu serangan kilat pada Jun lalu.

Lebih 200,000 penduduk yang majoriti penganut Yazidi dan Kristian melarikan diri selepas militan berkenaan membunuh penduduk yang menentang mereka. – Agensi

0 comments:

Post a Comment