Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, August 9, 2014

No Comment

LAHAD DATU – Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) yang pertama Datuk Mohammad Mentek telah meletakkan asas yang baik kepada ESSCom sehingga entiti di bawah Jabatan Perdana Menteri yang baharu ditubuhkan itu mendapat perhatian umum di seluruh negara, kata Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun.

“Tidak dinafikan beliau (Mohammad) telah memainkan peranan penting dalam  mempelopori dan membantu meletakkan asas yang baik kepada kemajuan ESSCom sehingga ramai yang mengambil berat tentang ESSCom yang akhirnya membawa penstrukturan semula.

“Kami warga ESSCom amat menghargai sumbangan dan jasa yang beliau taburkan selama ini. Begitu juga dengan beberapa pegawai ESSCom yang akan bertukar dan berpindah, kami menghargai perkhidmatan anda semua,” katanya.

Abdul Rashid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perpisahan 13 Pegawai ESSCom termasuk Mohammad dan jamuan Hari Raya di Dewan Pangkalan Polis Marin, dekat sini malam tadi.

Selain Mohammad, turut hadir bekas Pengarah Bahagian Pertahanan ESSCom Mej Jen Datuk Masrani Paiman, bekas Pengarah Bahagian Perisikan Pertahanan ESSCom Mejar Jen Datuk Mohd Noor Osman dan bekas Pengarah Bahagian Awam dan Khidmat Pengurusan ESSCom Abdul Rahim Ishak.

Mohammad yang juga bekas Pengarah Imigresen Sabah dilantik sebagai Ketua  Pengarah ESSCom mulai 1 April tahun lepas.

Anak jati Semporna itu berkelulusan Ijazah Sarjana Sains (Statistik) dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dari Minnesota University, Amerika Syarikat, menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Disember 1992 dan dilantik sebagai Pengarah Imigresen Sabah mulai 14 Ogos 2010.

Pada 8 Julai lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penstrukturan semula ESSCom yang menyaksikan pewujudan dua komponen utama iaitu pengurusan keselamatan dan pertahanan serta penguatkuasaan dan tindakan awam.

Najib turut mengumumkan pelantikan Abdul Rashid, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam ESSCom pada ketika itu, sebagai Komander ESSCom untuk komponen pengurusan keselamatan dan pertahanan.

ESSCom ditubuhkan susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo awal tahun lepas dan dipertanggungjawab menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di ESSZone.

ESSZone meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan kerajaan mengisytiharkan perintah berkurung di perairan enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) Mohammad berkata ia adalah tepat dan wajar disokong rakyat di negara ini.

Beliau berkata sejak perintah berkurung itu diisytiharkan pada 19 Julai  lepas, keadaan keselamatan di ESSZone kini terkawal selepas dikejutkan beberapa insiden jenayah rentas sempadan, khususnya kes penculikan sebelum ini.

Mohammad berkata insiden serangan hendap oleh sekumpulan pengganas bersenjata di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai lepas seharusnya menjadi
pembuka mata kepada semua terutama anggota keselamatan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi cabaran yang besar itu.

“Alhamdulillah, kita bersyukur sejak perintah berkurung diisytiharkan, keadaan keselamatan di ESSZone bertambah baik, sekali gus membuktikan
kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk menjaga keselamatan rakyat di negeri ini,” katanya.

Kawasan perintah berkurung itu bermula selepas tiga batu nautika dari pantai sepanjang perairan dari Sandakan melalui daerah Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna hingga ke Jeti Tawau sejauh 362 batu nautika meliputi kawasan seluas 121, 270 batu nautika persegi.

Mohammad berharap dengan penstrukturan semula ESSCom yang menyaksikan Abdul Rashid dilantik sebagai Komander dan pengisytiharan perintah berkurung serta kerjasama semua pihak termasuk masyarakat maritim di ESSZone, jenayah rentas sempadan dapat dibendung.

Sebelum itu, Mohammad mengetip kad perakam waktu terakhir menandakan tamat perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah ESSCom. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment