Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, August 29, 2014

No Comment


KUALA LUMPUR – Pemansuhan permit import (AP) bukan sahaja akan memberi kesan negatif kepada usahawan Bumiputera dalam industri automotif, malah dikhuatiri akan turut menjejaskan pendapatan kerajaan melalui cukai yang dikutip daripada pemegang AP.

Yang Dipertua Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, jumlah cukai tahunan yang dikutip daripada anggota persatuan itu sahaja melebihi RM2 bilion walaupun kuantiti kereta yang dijual hanyalah lima peratus daripada keseluruhan pasaran.

“Walaupun dari segi jumlah pengimportan, kuantiti yang dibawa masuk tidak besar, namun dari segi pungutan cukai, sumbangan kami boleh dibanggakan. Pada 2011, kutipan cukai import kerajaan daripada anggota kami berjumlah RM2.8 bilion dan pada 2012, ia meningkat kepada RM3.3 bilion.

“Ini tidak termasuk kutipan cukai korporat dan individu yang dikenakan setiap tahun. Kerajaan telah memperoleh hasil baharu melalui fi bagi setiap AP kereta terpakai sebanyak RM10,000 yang kini berjumlah lebih daripada RM1 bilion,” katanya dalam kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pekema di sini hari ini.

Ironinya, menurut Zainuddin, itulah satu-satunya AP yang dikenakan fi oleh kerajaan daripada lebih 800 jenis AP yang dikeluarkan.

Awal bulan ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan masih mengkaji cadangan untuk memansuhkan permit import (AP) kerana ia akan memberi kesan kepada pendapatan negara.

Mustapa berkata, apa juga sistem yang akan diperkenalkan untuk menggantikan AP, ia perlu mampu untuk menampung kehilangan hasil kerajaan tersebut.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, kritikan bahawa penerusan dasar AP terbuka akan mengakibatkan kerajaan dipandang sebagai ‘undur ke belakang’, adalah tidak berasas sama sekali.

“Tidak timbul persoalan `berundur ke belakang’ kerana AP terbuka ini telah berjaya memastikan kewujudan penyertaan usahawan Bumiputera dalam industri automotif.

“Ini merupakan satu daripada langkah afirmatif kerajaan dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB),” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan yang mengambil kira masalah yang mungkin dihadapi pemegang AP, terutamanya anggota persatuan.

“Pekema secara konsisten telah menyatakan implikasi besar terhadap usahawan Bumiputera jika dasar AP terbuka ditamatkan, yang pastinya akan menyebabkan pembabitan Bumiputera dalam industri automotif negara ini berakhir,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment