Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, August 10, 2014

No Comment

BANDAR GAZA – Jet pejuang Israel melancarkan 30 serangan udara di Genting Gaza semalam dalam operasi ketenteraan yang meragut nyawa lima penduduk Palestin manakala pejuang Hamas membedil enam roket ke wilayah Israel.

Perkhidmatan kecemasan Palestin memberitahu, dua lelaki terbunuh dalam serangan ke atas sebuah motosikal di kem pelarian Al-Maghazi, Gaza.

“Mayat tiga yang lain ditarik keluar dari timbunan serpihan masjid Al-Qassam di kem Nuseirat, tengah Gaza,” kata satu kenyataan perkhidmatan berkenaan.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Palestin, jet-jet rejim Zionis memusnahkan tiga buah masjid setiap satu di Nuseirat, Zeitoun dan Jabaliya, tengah Gaza.

Seorang jurugambar agensi berita AFP, Jood Irhaem berkata, hanya satu menara masjid Al-Qassam yang masih tegak berdiri akibat dibedil rejim Zionis.

“Kami terdengar satu letupan kuat diikuti dua letupan lain. Kami segera memberi amaran kepada penduduk setempat supaya meninggalkan kawasan itu,” katanya.

Dalam pada itu, tentera rejim Zionis menyatakan, pejuang Palestin membedil enam roket ke wilayah Israel semalam. Perkembangan itu menjadikan bilangan bedilan roket Palestin sejak gencatan senjata selama 72 jam di Gaza berakhir kelmarin meningkat kepada 44.

Seorang orang awam dan askar Israel cedera dalam serangan kelmarin tetapi tiada kecederaan dilaporkan pada hari berikutnya.

Pertempuran antara Israel dan Hamas sejak 8 Julai lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,900 penduduk Palestin dan 67 orang di pihak Israel dengan kebanyakan mereka anggota tentera.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberitahu, sekurang-kurangnya 1,354 penduduk Palestin yang terkorban sejak 8 Julai lalu itu terdiri daripada orang awam termasuk 447 kanak-kanak.

Israel sebelum ini mendakwa pihaknya melancarkan serangan udara ke atas Gaza bagi menghalang bedilan roket Hamas ke dalam wilayahnya. – AFP

0 comments:

Post a Comment