Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, August 27, 2014

No Comment

PADANG (SUMATERA BARAT) – Kesungguhan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor memartabatkan suku Minangkabau mendapat pengiktirafan apabila beliau dianugerah darjah tertinggi wanita suku itu.

Rosmah menerima ‘Darjah Kebesaran Kerabat Yang DiPertuan Gadih Minang’ yang membawa gelaran Puan Puti Reno, membawa maksud puteri tertinggi dalam kerabat Minangkabau.

Penganugerahan yang berlangsung di Istana Adityawarman itu dilakukan dengan penuh istiadat Minangkabau yang dihadiri pewaris kerabat Minangkabau termasuk Raja Alam Pagaruyung Sutan Mohamad Taufik.

Sebagai simbolik penganugerahan, Rosmah dipakaikan selendang seorang daripada pewaris wanita Istana Pagaruyung dan bagi kesesuaian majlis Rosmah turut berpakaian Minangkabau, lengkap dengan tengkuluk yang biasanya dipakai oleh kerabat diraja zaman silam.

Ketika ditemui pemberita selepas acara tersebut, Rosmah berkata beliau amat terharu dan gembira dengan penerimaan serta anugerah yang diberikan apatah lagi ia bagaikan pulang ke kampung halaman kerana ibu bapanya berketurunan Minangkabau.

Ibu bapa Rosmah berasal daripada Sari Lama yang terletak di salah satu daerah di Sumatera Barat.

“Saya berasa gembira kerana diterima dan diberi gelaran sebagai salah seorang keluarga diraja di Pagaruyung. Saya juga terharu kerana walaupun saya tidak pernah datang ke tanah Minangkabau, saya dapat menjiwai bahawa inilah tempat asal nenek moyang saya.

“Saya rasa seperti pulang ke kampung tetapi ini bukanlah bermakna saya melupakan Malaysia. Saya rasa ini merupakan detik permulaan pada diri saya dan ia pengalaman baru,” katanya.

Beliau berharap dengan anugerah dan kekeluargaan yang terjalin, hubungan antara Indonesia dan Malaysia akan bertambah kukuh dan erat.

“Saya berharap kita tidaklah besar-besarkan perkara atau perselisihan faham. Yang mustahaknya kita harus mencari kesamaan antara satu sama lain kerana kita adalah serumpun.

“Kita berdoa bersama supaya dengan penghormatan yang diberikan kepada saya hari ini, akan membawa satu lembaran baru atau kita dapat lihat lebih lagi keakraban dan persahabatan,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata anugerah itu menjadi satu sejarah kerana Rosmah merupakan satu-satunya wanita dari negara luar yang menerima darjah sedemikian.

Beliau juga berharap penganugerahan itu akan merancakkan lagi hubungan antara kedua negara dan memberi impak positif dalam pelbagai sudut terutama budaya dan adat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Terdahulu, wakil Lembaga Adat Minangkabau Padang berkata, anugerah itu dikurniakan kepada Rosmah kerana kebaikan dan kesungguhan beliau memartabatkan budaya Minangkabau di Malaysia. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment