Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, August 23, 2014

No Comment

LAHAD DATU – Sejumlah 925 orang dipercayai pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam Op Gasak 26 yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Kampung Air Lahad Datu, di sini hari ini.

Komander Esscom, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, daripada jumlah itu, 243 adalah lelaki dewasa, 331 wanita dewasa, 164 kanak-kanak lelaki dan 187 kanak-kanak perempuan.

Beliau berkata kesemua mereka dibawa ke Dewan Pangkalan Polis Marin Lahad Datu untuk tapisan dan pengesahan dokumentasi pihak Jabatan Imigresen.

“Kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan yang sah atau memiliki dokumen yang meragukan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Op Gasak 26 termasuk operasi meroboh rumah setinggan di kampung berkenaan.

Turut hadir Timbalan Komander Esscom Brig Jen Subari Tomo, Pengarah Maritim Esscom Laksamana Pertama Maritim M Karunanithi, Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad dan Pegawai Daerah Lahad Datu Iman Ali.

Abdul Rashid berkata dalam operasi yang bermula 2.30 pagi dan berakhir sekitar 10 pagi itu, pihaknya mengenal pasti 400 rumah setinggan di perkampungan air itu yang bakal diroboh.

Beliau berkata operasi bersepadu itu membabitkan pelbagai jabatan dan agensi keselamatan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pertahanan Awam dan Pejabat Daerah Lahad Datu.

Katanya operasi itu merupakan yang terbesar pernah dibuat selepas penstrukturan semula Esscom yang berkuat kuasa 15 Julai lepas.

Penstrukturan semula itu menyaksikan pewujudan dua komponen utama iaitu pengurusan keselamatan dan pertahanan serta penguatkuasaan dan tindakan awam.

Ketika mengumumkan penstrukturan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Abdul Rashid yang memegang jawatan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam ESSCom pada ketika itu dilantik sebagai Komander Esscom untuk komponen pengurusan keselamatan dan pertahanan.

Mengenai Op Gasak 26, Abdul Rashid berkata operasi itu membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk membersihkan Zon Selamat Timur Sabah
(Esszone) daripada PATI.

“Kita akan meneruskan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa di kawasan Esszone,” katanya.

Beliau turut menasihati pemimpin masyarakat peringkat akar umbi, khususnya ketua kampung supaya tidak bersekongkol dan melindungi Pati di kawasan masing-masing.

“Kita tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak termasuk ketua kampung yang didapati bersubahat…kalau ada yang didapati bersekongkol atau melindungi saya akan laporkan perkara ini kepada Ketua Menteri Sabah (selaku Pengerusi Jawatankuasa Esszone) untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment