Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, August 28, 2014

No Comment

Kuala Lumpur – Sudah lama pelakon Sari Yanti menjadi buruan media. Suka atau tidak, dia yang mula popular menerusi drama rantaian Kisah Kaisara itu harus berhadapan dengan media kerana berita rumah tangganya bergolak sudah tersebar.

Sari didakwa telah memfailkan penceraian pada 25 Februari lalu di Mahkamah Rendah Syariah, Seremban, Negeri Sembilan. Ia kemudian diikuti dengan Eddy ‘menyerang balas’ memfailkan nusyuz pada 20 Mac tahun yang sama di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya, Selangor.

Bagaimanapun, sehingga kini, status rumah tangga mereka tidak diketahui.

Namun, dalam tempoh pencarian tersebut, Sari memilih bungkam. Panggilan telefon tidak dijawab, mesej pesanan ringkas (SMS) juga tidak dibalas. Dia mengelak.

Bagaimanapun, kelibatnya yang hadir pada majlis sidang akhbar pengumuman Top 5 Anugerah Lawak Warna 2014 yang berlangsung di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini sedikit mengejutkan pihak media.

Memandangkan kelibat pelakon berkenaan sudah berada di hadapan mata, pihak media yang hadir bersemuka dengannya dan tentulah butir bicara yang dilontarkan tentang perkembangan terbaharu mengenai kehidupannya sekarang.

Malah, jika sebelum ini memang sukar mendapatkan sebarang respons daripadanya, situasi itu berubah saat kami bertemu.

Sesuatu yang wajar dipuji apabila Sari tidak mengelak untuk ditemu bual media, meskipun sudah dapat menjangkakan soalan-soalan yang akan ditujukan kepadanya.

“Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan sekarang,” itulah jawapan pertama yang diucapkan oleh Sari apabila dia ditembak dengan pertanyaan mengenai kisah rumah tangganya.

Mengambil pendekatan untuk berdiam diri daripada memberikan sebarang ulasan berkaitan perkara berkenaan, pelakon berusia 30 tahun itu sekadar melemparkan senyuman manis apabila terus diajukan soalan yang sama.

“Buat masa ini saya memang tidak akan memberikan sebarang komen tentang kisah rumah tangga saya. Lagipun tiada apa yang dapat saya komen atau ulas apabila membabitkan kisah peribadi.

“Saya cuma boleh cakap kini kehidupan saya bahagia dengan kedua-dua anak yang semakin membesar. Itu sahaja komen daripada saya,” ujar ibu kepada dua orang anak iaitu Barr Al Aliy, 4, dan Basit Al Haq, 2, itu mohon dimengerti.

Sementara itu, ketika ditanya tentang dirinya yang jarang muncul dalam acara-acara hiburan, Sari memberitahu, sejak kemunculannya dalam bidang lakonan sejak tujuh tahun lalu, dia tidak akan hadir ke sesebuah acara sekiranya tidak ada produk yang sedang dipromosikan atau berkaitan dengan dirinya.

Ujarnya, mengapa dia meluangkan masa untuk hadir ke majlis sidang akhbar berkenaan adalah kerana telemovie sulung terbitan syarikatnya, Pengancam Perkahwinan tercalon dalam lima kategori.

“Kehadiran saya ini sebenarnya lebih untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan artis yang turut tercalon dalam anugerah ini. Sudah tentu saya turut berkongsi rasa bangga kerana ia merupakan kali pertama syarikat saya iaitu Mediaglo Production menerbitkan telemovie dan ia tercalon dalam lima terbaik,” jelasnya.

Suka-suka

Bercerita lebih lanjut mengenai pencalonan telemovie Pengancam Perkahwinan dalam Anugerah Lawak Warna 2014 yang bakal berlangsung pada 19 September ini di Teater Selangor, Shah Alam, Sari mengakui, dia agak terkejut apabila tercalon dalam lima kategori.

Menurutnya, ia merupakan satu pencapaian yang tidak dijangka sama sekali buat dirinya dan rakan-rakan lain seperti Tam Suhaimi, Kilafairy, Farish Aziz, Intan Ladyana dan Nadia Nisaa yang sama-sama terbabit dalam penerbitan telemovie berkenaan.

“Sebenarnya kami menerbitkan Pengancam Perkahwinan secara suka-suka sahaja. Pada mulanya Tam menunjukkan sebuah skrip yang dihasilkannya dan menerusi perbincangan akhirnya kami sepakat untuk menerbitkannya.

“Selain itu, saya sendiri tidak sangka telemovie ini mendapat maklum balas yang positif daripada penonton. Malah, ia turut ditayang berulang kali di saluran Astro,” ujarnya.

Lebih membanggakan, Pengancam Perkahwinan tercalon dalam lima kategori iaitu Pelakon Komedi Wanita Terbaik TV (Nadia Nisaa), Rancangan Komedi TV Terbaik Bukan Bersiri, Lakon Layar Komedi Terbaik TV, Skrip Komedi TV Terbaik dan Pengarah Komedi Terbaik TV.

Ujar Sari, walaupun Pengancam Perkahwinan mendapat sambutan baik daripada penonton, ketika ini dia masih belum merancang untuk menerbitkan produk terbaharu lantaran kesibukan jadual masing-masing.

Tidak galak

“Sekarang ini saya dan rakan-rakan lain sibuk dengan jadual penggambaran masing-masing. Rasanya jika ada projek seterusnya mungkin saya akan menerbitkan Pengancam Perkahwinan dalam bentuk drama bersiri pula,” ujarnya.

Beralih kepada perkembangan peribadinya, Sari yang mengaku bahagia bersama dua anak lelakinya memberitahu, dia lebih senang memberi fokus terhadap mereka jika tidak bekerja.

Ditanya adakah dia terbuka untuk menerima tawaran berlakon atau iklan komersial buat anak-anaknya, Sari menolak.

Tidak seperti kebanyakan ibu bapa yang tidak kisah untuk membenarkan anak masing-masing tampil di kaca televisyen atau layar perak, pelakon itu menegaskan, dia tidak menggalakkan anak-anaknya berlakon.

“Sebenarnya saya berasa cukup kasihan apabila melihat kanak-kanak ini berlakon sehingga berasa penat. Lagipun agak sukar membahagikan masa antara lakonan dan persekolahan.

“Namun begitu, ia bukan bermakna saya tidak menggalakkan mereka berlakon memandangkan pada usia sekarang ini rasanya masih belum sesuai lagi. Malah, berlakon iklan juga mereka tidak pernah buat,” ujarnya yang mengakui ada penerbit yang menawarkan kedua-dua anaknya itu berlakon.

Ketika ditanya mengenai perkembangan karier lakonannya pula, Sari memberitahu, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Menantu Mak Upih dan kini terbabit dengan telemovie berjudul Milik Kita.

0 comments:

Post a Comment