Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, August 25, 2014

No Comment

PATTANI (Selatan Thailand) – Industri pelancongan yang kian suram di beberapa wilayah di selatan Thailand angkara pertelingkahan berdarah sejak beberapa tahun lalu diharap kembali pulih dan dikunjungi semula pelancong terutama dari Malaysia.

Ketua Penerangan Lima Wilayah Sempadan Thailand, Samphan Musodi berkata walaupun agak sukar untuk memastikan bila pergolakan itu akan berakhir namun yang pasti keadaan itu sebenarnya tidak membahayakan pelancong yang datang.

“Kami menerima anda (pelancong) dengan senang hati dan ingin memberitahu anda bahawa anda sangat selamat untuk berada di wilayah ini.

“Bantulah kami untuk pulihkan semula industri pelancongan dan dengan itu anda dapat membantu rakyat kami yang terbabit secara langsung dalam industri ini,” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir program Persahabatan Media Malaysia-Thailand yang diadakan di Yala dan wilayah ini sejak Rabu sehingga Jumaat lepas.

Hadir sama pada program itu ialah Setiausaha Kelab Wartawan Akhbar Selatan Thailand Abdul Karim Ramansiriwong yang juga Presiden Kelab Wartawan Yala, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) Azran Fitri Abdul Rahim, Presiden Kelab Media Perlis Shahidi Shahidan dan Presiden Kelab Stringer Wilayah Utara (KSWU) Che Saad Noordin.

Pada program itu wartawan Malaysia telah dibawa berkunjung ke beberapa lokasi menarik sekitar Yala dan wilayah ini termasuk melawat masjid tertua di Kampung Langa dan perusahaan industri desa di sini.

Masjid Najmudin yang kini berusia hampir 400 tahun dalam proses naik taraf di Kampung Langa dan di situ tersimpannya sebuah al-Quran tulisan tangan yang dianggarkan berusia hampir 1,000 tahun.

Menariknya pelan masjid lamanya telah direka oleh seorang sami Buddha dan dibangunkan bersama masyarakat Islam dan Buddha di kampung berkenaan yang dihuni lebih 52 peratus penduduk Islam.

Samphan berkata mereka yang terbabit dalam industri desa menerusi program “One Tambun One Product” (Satu Kampung Satu Produk) itu benar-benar mengharapkan kedatangan pelancong untuk membeli produk yang dihasilkan mereka.

“Seperti di kampung ini mereka mengusahakan produk yang diperbuat daripada pisang yang mana pekerja terdiri daripada penduduk kampung dan mengharapkan kedatangan pelancong untuk sumber pendapatan mereka,” katanya.

Mengulas keadaan keselamatan di sini yang disifatkan banyak pihak sebagai berbahaya, Samphan berkata perkara itu hanya pandangan semata-mata dan memberi jaminan keselamatan pelancong tetap diutamakan.

“Apa yang berlaku, ia (pergolakan) tidak menyasarkan sama sekali pelancong dan jika dilihat terdapat ramai anggota pasukan keselamatan yang meronda dan berkawal semata-mata untuk memastikan kawalan berada pada tahap terbaik,” katanya.

Beliau juga mengharapkan kerjasama media Malaysia dapat menguar-uarkan keadaan sebenar di wilayah selatan Thailand itu dan melaporkan dalam akhbar masing-masing.

Pada program itu wartawan Malaysia turut diraikan Gabenor Wilayah Yala, Deirath Simsiri di kediaman rasminya di Yala.

Sementara itu, Abdul Karim berharap situasi sebenar keadaan di wilayah itu dapat dijelaskan oleh media di Malaysia dan media di selatan Thailand bersedia pada bila-bila masa membantu media Malaysia dalam bentuk pertukaran berita yang lebih jelas.

“Kami media di selatan Thailand ini sangat mengharapkan kerjasama media Malaysia dan sebarang maklumat mengenai keadaan sebenar di sini kami boleh membantu agar media Malaysia mendapat gambaran sebenar,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment