Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, August 13, 2014

No Comment

SHAH ALAM — Pemecatan lima anggota Exco kerajaan negeri Selangor daripada DAP dan PKR dibuat secara sah dan mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkuat kuasa semalam, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata baginda berkenan untuk membatalkan pelantikan lima anggota Exco terbabit secara bertulis atas nasihat beliau sebagai Menteri Besar.

“Saya telah menulis surat kepada baginda pada pukul 2 petang semalam selepas terima berita lima Exco terbabit telah keluarkan kenyataan bersama untuk tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan Menteri Besar dan hanya menghadiri mesyuarat MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) bagi memantau perjalanan kerajaan negeri serta hanya menurut kehendak parti yang mereka sokong.

“Baginda kemudian telah membalas secara bertulis dua jam kemudian untuk membenarkan saya mengumumkan mengenai pemecatan mereka,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Sebelum ini, Abdul Khalid dipetik sebagai berkata beliau memecat enam anggota Exco daripada parti DAP dan PKR tetapi hari ini beliau mengesahkan surat pemecatan kepada seorang anggota Exco daripada PKR Rodziah Ismail masih belum dihantar kerana Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga itu dikatakan berada di luar negara.

Abdul Khalid turut menunjukkan surat balasan yang diterima beliau daripada Sultan Selangor kepada media yang memaklumkan baginda tiada halangan untuk beliau menamatkan khidmat Datuk Teng Chang Khim, V.Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah daripada DAP dan Elizabeth Wong Keat Ping serta Dr Daroyah Alwi daripada PKR.

Menteri Besar itu berkata tindakan anggota-anggota Exco terbabit mengeluarkan kenyataan untuk tidak bekerjasama dengannya turut bercanggah dengan 10 Akujanji dan Sumpah Kesetiaan yang dilafazkan ketika mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Ditanya mengenai status jawatan Rodziah, beliau berkata sebarang keputusan mengenainya akan diputuskan apabila Rodziah pulang ke tanah air.

“Beliau berada di luar negara dan sebab itu kita tunggu beliau kembali. Jika perlu (beliau) bekerjasama dengan anggota exco yang lain (PAS) dia akan teruskan tetapi kalau tidak dia juga akan diberi surat penamatan (khidmat sebagai anggota exco).

“Hanya lima nama exco (kecuali Rodziah) yang diberikan kepada Sultan.

“Beliau (Rodziah) sudah jumpa saya sebelum beliau ke luar negara.” katanya dan enggan mengulas lanjut mengenai perbincangan mereka.

Mengulas mesyuarat MMKN yang dipengerusikan beliau hari ini walaupun tanpa kehadiran lima anggota exco yang dipecat, Abdul Khalid berkata ia berlangsung seperti biasa dengan korum mencukupi bersama empat anggota exco daripada PAS dan tiga pegawai ex-officio.

“Jumlah ini memadai dan sah mengikut Artikel 53 (2)(b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menetapkan sekurang-kurangnya mempunyai empat anggota MMKN untuk mentadbir negeri secara sah,” katanya.

Empat anggota exco daripada PAS itu ialah Dr Ahmad Yunus Hairi, Dr Halimah Ali, Iskandar Abdul Samad dan Sallehen Mukhyi.

Ditanya mengenai pelantikan anggota exco baharu bagi menggantikan lima exco yang dipecat, Abdul Khalid berkata perkara itu tidak akan diputuskan buat masa ini.

“Tuanku menasihatkan saya suruh kekalkan kedudukan (anggota exco) sekarang bagi menentukan kemantapan kerja supaya pembangunan ditumpukan dan kebajikan rakyat diutamakan,” katanya.

Ditanya mengenai status Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dan anggota majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) esok.

Abdul Khalid turut mengalu-alukan kehadiran lima bekas anggota exco terbabit pada mesyuarat MTES esok bagi membincangkan isu pentadbiran negeri.

“Mereka digalak hadir tetapi bukan sebagai anggota exco. Kita akan adakan perbincangan dengan telus dan bertanggungjawab untuk mencari keputusan yang penting,” katanya.

Ditanya mengenai sokongan yang diterima beliau daripada Umno, Abdul Khalid berkata beliau menerimanya dengan baik.

Kepada soalan mengenai kemungkinan beliau melantik Adun Umno sebagai anggota exco kerajaan negeri, Abdul Khalid berkata buat masa ini perkara itu tidak berbangkit.

“Buat masa ini pentadbiran kerajaan negeri dilakukan saya bersama empat anggota exco (daripada PAS) dan penjawat awam bagi memantapkan pentadbiran negeri,” katanya.
– BERNAMA


0 comments:

Post a Comment