Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, August 18, 2014

No Comment

Polis yakin seorang lelaki warga Pakistan yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pengeluaran wang daripada akaun milik tiga penumpang dan seorang anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, masih berada dalam negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata setakat ini tiada petunjuk yang menyatakan lelaki itu melarikan diri ke luar negara.

“Setakat hari ini kita masih berusaha mengesan lelaki itu dan siasatan juga mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam majlis serah terima tugas Ketua Polis Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad dan ACP Rasdi Ramli.

Rasdi dilantik memegang jawatan sebagai Pemangku Ketua Polis Dang Wangi manakala Zainuddin dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Pada Rabu lepas, pengurusan sebuah bank membuat laporan mengenai berlakunya transaksi akaun milik dua penumpang warga China, seorang penumpang warga Malaysia dan akaun seorang pramugara yang melibatkan pengeluaran wang RM110,643 tanpa kebenaran mana-mana pihak.

Siasatan awal polis mendapati daripada jumlah itu, sebanyak RM35,000 dipindahkan ke akaun kelima menerusi perbankan internet.

Berikutan itu, polis menahan seorang pegawai bank dan suaminya masing-masing berusia 33 tahun, pada 14 Ogos lepas dipercayai terbabit memindah dan mengeluarkan wang daripada akaun mangsa.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis masih menunggu maklum balas daripada Polis Antarabangsa (Interpol) di Taiwan bagi mengenal pasti dua lelaki yang dipercayai warganegara Taiwan yang sedang diburu polis.

Kedua-dua lelaki itu dikehendaki bagi membantu siasatan kes kecurian dua bentuk cincin berlian bernilai RM1.5 juta di dua galeri barangan kemas di Starhill, Bukit Bintang baru-baru ini.

“Polis sudah mengenal pasti identiti kedua-dua suspek dipercayai rakyat Taiwan tetapi setakat ini kami belum menerima maklum balas daripada Interpol Taiwan,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment