Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, September 19, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendakwa lapan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia, termasuk dua bergelar Datuk berhubung kesalahan menerima rasuah secara bulanan berjumlah antara RM500 hingga RM130,000.

Dua bergelar Datuk itu ialah Datuk Mohd Nasir Said, 58, Pengarah Kastam Perak dan Datuk Saad Ishak, 57, Penolong Pengarah Kanan Kastam Cawangan Risikan Putrajaya.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah dalam satu kenyataannya, berkata tujuh daripada mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Shah Alam manakala seorang lagi di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur.

Mereka berdepan antara lapan hingga 52 tuduhan iaitu kesalahan menerima wang perlindungan bulanan. Keseluruhan tuduhan yang dikenakan hari ini adalah sebanyak 106.

Mereka yang didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur ialah:

- Datuk Mohd Nasir Said, 58, didakwa atas lapan pertuduhan melibatkan nilai suapan RM80,000, di bawah Sekysen 16a (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Kes ini akan disebut semula pada 23 Oktober 2014 dan beliau diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin.

Mereka yang didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Shah Alam ialah:

- Datuk Saad Ishak, 57, dituduh dengan sembilan pertuduhan melibatkan nilai RM29,000 di bawah Seksyen 16a(A) ASPRM 2009. Beliau diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan pasport perjalanannya ditahan.

- Abdul Ghafar Mohamad, 46, dituduh dengan 19 pertuduhan melibatkan nilai rasuah RM38,000, di bawah Seksyen 16a(A) ASPRM 2009. Beliau diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin dan pasport perjalanannya ditahan.

- Mohd Ariffin Zakaria, 56, dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 16a(A) ASPRM 2009, melibatkan nilai RM2,000. Beliau diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport perjalanannya ditahan.

- Sohaizan Othman, 39, dituduh dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 16a(A) ASPRM 2009, melibatkan nilai RM1,000. Beliau diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport perjalanannya ditahan.

- Abd Razak Basri, 55, dituduh dengan 11 pertuduhan di bawah Seksyen 16a(A) ASPRM 2009, melibatkan nilai RM22,000. Beliau diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasport perjalanannya ditahan.

- Hizam Abd Ghani, 56, dituduh dengan 52 pertuduhan melibatkan nilai suapan RM298,000. Satu di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009 manakala 51 pertuduhan di bawah Seksyen 16a(A) ASPRM 2009. Beliau diikat jamin dengan RM40,000 dengan seorang penjamin manakala pasport perjalanannya ditahan.

- Azlee Mohamed Yusof, 48, hadapi lima pertuduhan melibatkan nilai rasuah RM77,000. Empat tuduhan di bawah Seksyen 16a (A) dan satu tuduhan di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009. Beliau diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasport perjalanannya ditahan.

Kesemua tertuduh berusia lingkungan 39 tahun hingga 58 tahun melakukan kesalahan sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan atas kesalahan yang dilakukan oleh individu dan syarikat-syarikat yang membawa keluar barangan yang tidak dikenakan cukai eksais dari Zon Bebas Pelabuhan Klang.

SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Omar Saifuddin dan Anthony Kevin Morais.

Kes di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Shah Alam, tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dato' Noradidah Ahmad manakala di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur, tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.

Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dipenjarakan selama satu tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Kesalahan ini juga adalah melanggar Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Mohd Jamidan berkata, mereka yang dihadapkan di mahkamah hari ini merupakan sebahagian pegawai yang ditahan dalam satu operasi khas pada 3 September lalu.

SPRM mengesahkan ada membuat tangkapan terbaru pada 17 September 2014 melibatkan 16 orang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Tangkapan ini adalah hasil siasatan lanjut ke atas tangkapan terdahulu iaitu pada 3 September 2014, hasil pemerhatian selama setahun di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang oleh pasukan Task force yang dianggotai oleh SPRM, PDRM, Bank Negara, LHDN, CyberSecurity dan lain-lain," katanya.

Sementara itu, Mohd Jamidan berkata, seramai 13 pegawai ini telah pun ditahan reman selama tujuh hari sehingga 24 September 2014. Dua lagi direman selama enam hari mulai hari ini.

"Dalam mengumpul bukti-bukti ini, Task Force telah menggunakan kaedah Intelligence and Analysis Based Investigation bagi menembusi kerja-kerja penyeludupan dan aktiviti rasuah yang melibatkan anggota sindiket dan penguat kuasa.

"Ingin ditegaskan di sini bahawa tangkapan terbaru ini bukan bertujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, sebaliknya bertujuan untuk melumpuhkan aktiviti-aktiviti penyeludupan dan rasuah yang menyebabkan berlaku ketirisan wang negara yang besar," katanya.

Beliau berkata, SPRM amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kastam.

"SPRM juga menyambut baik dan menyokong langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh Jabatan Kastam untuk mengemaskan perjalanan organisasi berkenaan, antaranya merombak penempatan pegawai dan menyemak Standard Operasi Prosedur (SOP) Jabatan Kastam. ─ BH Online

0 comments:

Post a Comment