Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, September 2, 2014

No Comment

SEPANG – Kenangan beribadah di Tanah Suci seolah-olah melambai-lambai juruterbang Malaysia Airlines (MAS) Kapten Abu Samah Yahya untuk memberi penghormatan terakhir kepada rakan seperjuangannya Kapten Wan Amran Wan Hussin, walaupun beliau baharu pulang daripada mengemudi penerbangan dari Madinah.

Abu Samah yang tiba di tanah air dari Madinah petang semalam berkata sepanjang berada di Madinah baru-baru ini, beliau banyak mengimbau detik kenangan bersama-sama Wan Amran, menyebabkan beliau menggagahkan diri untuk ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) hari ini, meskipun beliau masih merasa penat.

“Kami pernah mengerjakan umrah bersama-sama. Banyak kenangan antara kami, antaranya arwah mempunyai tempat kegemaran untuk bersolat di Makkah menyebabkan kami akan bergegas ke situ kerana bimbang tempat itu diambil orang lain.

“Kenangan itu datang secara automatik menyebabkan saya rasa terpanggil untuk memberikan penghormatan terakhir kepada arwah di sini,” katanya semasa ditemui pemberita.

Abu Samah adalah antara kira-kira 50 juruterbang dan anak kapal Malaysia Airlines yang hadir ke istiadat itu dengan mengenakan uniform lengkap sebagai penghormatan kepada mangsa tragedi MH17.

Sementara itu Ketua Juruterbang, Datuk Kapten Missman Leham menyifatkan Wan Amran sebagai seorang individu yang peramah dan mudah berjenaka semasa mereka terbang bersama menyebabkan perjalanan yang panjang tidak terasa jauh.

Perkara itu dipersetujui Kapten Hadi Rahimi yang pernah beberapa kali mengendalikan pesawat dengan Wan Amran, dan menambah arwah sentiasa menghormati orang lain semasa bercakap, meskipun berhadapan dengan orang yang lebih muda.

Sementara itu, Kapten Ronald Lee berkata beliau bukan sahaja kehilangan rakan sekerja, tetapi turut kehilangan ‘fitness buddy’ dengan pemergian Kapten Eugene Choo Jin Leong.

“Kami saling mengingatkan antara satu sama lain tentang kepentingan untuk mengamalkan gaya hidup sihat, khususnya kami terlibat dalam industri yang sibuk dan tidak menentu masa,” katanya.

Beliau menambah Eugene Choo aktif dalam sukan motosikal lasak dan sering mengajaknya untuk turut serta.

“Bagaimanapun saya tidak seperti Eugene, mendiang berani dalam sukan lasak, manakala saya takut dengan kenderaan dua roda,” katanya dan menambah sebagai ganti, beliau mengajak mendiang untuk bermain golf.

Katanya beliau pasti akan merindui gelak ketawa Eugene semasa bermain golf, namun beliau pasrah kerana yakin rakannya itu kini berada di tempat yang lebih baik.

Bagi pramugari Teng Siew Eng, beliau hadir ke istiadat hari ini membawa amanah daripada keluarga MAS dan juga bekas anak kapal syarikat penerbangan itu yang mahu menyampaikan nota peribadi kepada waris mangsa.

Khusus untuk menghargai minat Eugene terhadap sukan motosikal lasak, nota peribadi yang dilekatkan pada plastik bunga gerbera putih dihiasi dengan karikatur lelaki menunggang motosikal berserta nota: ‘Ride On Bro’.

Wan Amran dan Eugene Choo merupakan kapten pesawat MH17 yang ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan sehingga sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap tragedi itu. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment