Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, September 6, 2014

One Comment
Pasukan perubatan dari Palang Merah Liberia membawa keluar sebuah beg plastik yang mengandungi mayat yang meninggal dunia akibat virus Ebola pada Rabu lalu di sebuah bandar kecil Banjol, kira-kira 30 kilometer dari Monrovia, Liberia. Foto AFP
PETALING JAYA: Seramai 55 rakyat Malaysia telah berpindah keluar dari tiga negara Afrika Barat yang terjejas dengan Penyakit Virus Ebola (EVD) sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak itu.

Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, daripada jumlah itu seorang rakyat Malaysia dipindah keluar dari Guinea, 16 (Sierra Leone) dan 38 orang dari Liberia.

"Ada antara mereka yang pulang ke Malaysia manakala selebihnya berpindah keluar ke negara-negara lain di Afrika Barat termasuk Accra di Ghana.

"Terdapat sembilan lagi rakyat Malaysia di Liberia ketika ini sedang membuat persiapan untuk berpindah keluar dari negara itu,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Zulkifli berkata, baki sembilan rakyat Malaysia di Liberia itu dijangka akan berpindah keluar menjelang awal Oktober depan atau mungkin lebih awal mengikut keadaan.

Wabak Ebola yang sehingga kini membunuh lebih 1,500 orang di seluruh Afrika Barat telah menular di Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria.

Terbaharu, satu kes jangkitan yang boleh membawa maut itu merebak ke negara kelima di wilayah Afrika iaitu Senegal pada 29 Ogos lalu.

Ditanya mengenai keadaan di Nigeria dan Senegal, Zulkifli berkata, pihaknya sedang menunggu laporan perkembangan berkaitan wabak Ebola dan rakyat Malaysia di kedua-dua negara.

"Kita sedang menunggu laporan dari Kedutaan Malaysia di Nigeria dan Senegal. Kita sedang memantau situasi di negara-negara berkenaan.

"Bagaimanapun, kita menasihatkan kedutaan dan rakyat Malaysia di sana supaya mengambil langkah berjaga-jaga daripada terkena jangkitan wabak itu,” katanya yang belum dapat mengesahkan bilangan rakyat Malaysia di kedua-dua negara itu tetapi hanya berkata jumlahnya adalah kecil.

Menurut laporan di laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setakat 31 Ogos, sebanyak 3,707 kes berkaitan virus Ebola (mungkin, sah dan disyaki) dikesan di Guinea, Liberia, Nigeria, Sierra Leone dan Senegal, dengan 1,848 kematian.

Ebola adalah sejenis penyakit berjangkit yang tersebar menerusi hubungan langsung cecair badan dan tisu mereka yang dijangkiti. Simptomnya termasuk demam teruk, muntah, cirit-birit dan kegagalan buah pinggang dan hati.

1 comments: