Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, September 11, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mendahului senarai 250 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam yang disambut pada 7 Jun lepas.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu yang disempurnakan oleh Tuanku Abdul Halim berlangsung di Istana Negara, Jalan Duta di sini. Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke istiadat itu.

Khalid merupakan penerima tunggal Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Selain itu, sembilan penerima dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Mereka ialah dua Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Tan Sri Tan Kok Wha; Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad Senator Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam; Pengerusi Eksekutif Jopami Group of Companies Tan Sri Ir Abdahir Abdul Majid dan Pengerusi Sime Corp Malaysia Tan Sri Ir Dr Mohamed Al-Amin Abdul Majid.

Empat lagi penerima PSM ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan See Hoy Chan Holdings Tan Sri Teo Chiang Kok; Ketua Pengakap Negara Tan Sri Shafie Mohd Salleh; Pengerusi Eksekutif Dialog Group Berhad Tan Sri Dr Ngau Boon Keat dan bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang diwakili isteri Allahyarham, Puan Sri Faikah Sheikh Hamzah.

Sebanyak 10 penerima dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Mereka ialah Timbalan Peguam Cara Negara 1 Datuk Azailiza Mohd Ahad; Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin; Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Muhammad Safian Ismail; Pengarah Jabatan Siasatan Lembaga Hasil Dalam Negeri Datuk Mohd Nizom Sairi; dan Datuk Prof Dr Ainoon Othman dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia.

Lima lagi penerima PJN ialah Pengarah Eksekutif Maya Maju (M) Sdn Bhd Datuk Md Nizam Md Sherif; bekas Panglima Armada Laksamana Madya Datuk Abd Hadi A. Rashid; Pengerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Aziz Ibrahim; Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad Datuk Abu Hanifah Noordin; dan Pengerusi Eksekutif Harmony Home Development Sdn Bhd Datuk Cheng Joo An.

Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz @ Aziz Che Yacob dan Juruiring Darat kepada Yang di-Pertuan Agong, Brigadier Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar merupakan dua penerima Darjah Panglima Setia Diraja yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Bagi Darjah Johan Mangku Negara, empat penerima anugerah itu ialah Puan Sri Masnah Muhamat, Prof Dr Ali Yeon Md Shakaff, Dr Arbayah Rais dan ‘Allauddin Anuar.

Seri Paduka berkenan mengurniakan Darjah Johan Setia Mahkota kepada 11 penerima, Kesatria Mangku Negara (27 penerima), Kesatria Setia Diraja (tiga penerima), Ahli Mangku Negara (69 penerima), Pingat Pangkuan Negara (90 penerima) dan Bentara Setia Diraja (24 penerima). – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment