Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, September 6, 2014

No Comment

PUTRAJAYA – Selepas menerima laporan risikan “agak konklusif”, Malaysia dan pasukan penyiasatan antarabangsa kini berusaha untuk mengumpulkan bukti fizikal berkaitan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bagi tujuan itu, pasukan berkenaan mahu memasuki semula kawasan nahas di timur Ukraine sebelum musim sejuk.

“Untuk pengetahuan anda, kami sedang berusaha sebaik mungkin. Kami telah menerima laporan risikan berhubung apa yang telah berlaku terhadap Penerbangan MH17 dan laporan itu sebenarnya agak konklusif.

“Apa yang akan kami lakukan seterusnya adalah untuk mengumpulkan bukti fizikal, bukti yang kami boleh kemukakan di mahkamah bila tiba masanya supaya ia dapat dibuktikan tanpa sebarang kesangsian bahawa pesawat itu telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu dan ini perlu dibuktikan di mahkamah,” katanya.

Najib berkata demikian pada sesi soal jawab dalam sidang media bersama-sama  Perdana Menteri Australia Tony Abbott yang diadakan sempena lawatan rasmi sehari Abbott di Malaysia, di sini hari ini.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Pesawat Boeing 777-200 itu dikatakan ditembak jatuh di negara bergolak itu.

Najib berkata Malaysia bersama-sama rakan antarabangsa seperti Australia dan Belanda memerlukan sekurang-kurangnya lima minggu untuk memeriksa keseluruhan kawasan nahas yang agak luas, bukan sahaja untuk mencari cebisan mayat tetapi juga untuk mengumpulkan bukti fizikal.

Sebaik sahaja proses mengumpulkan bukti fizikal selesai, Najib berkata peringkat seterusnya adalah untuk meneliti dari sudut jenayah bagi mencari siapa yang bertanggungjawab melakukan jenayah kejam itu.

“Saya melihat ini sebagai amat mencabar kerana untuk mendapatkan bukti di kawasan konflik bakal berdepan pelbagai masalah serius tetapi kami bertekad untuk mencari kebenarannya dan membawa siapa yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

Dalam kenyataannya pada sidang media itu, Najib berkata Malaysia mendesak penyiasatan peringkat antarabangsa terhadap nahas itu dijalankan secara menyeluruh, bebas dan telus,  mengikut konvensyen antarabangsa dengan objektif untuk menegakkan keadilan.

Najib berkata beliau dan Abbott bertekad untuk meningkatkan usaha dan terus bekerjasama rapat dengan rakan antarabangsa yang lain bagi memastikan baki mayat mangsa dapat diserahkan kepada anggota keluarga secepat mungkin.

Beliau turut memaklumkan kepada Abbott tentang betapa pentingnya bagi Malaysia dan Australia untuk terus bekerjasama dalam proses susulan untuk mencari baki mayat mangsa MH17, proses siasatan nahas udara itu serta memastikan penyiasatan dari sudut jenayah dilaksanakan.

Najib berkata Malaysia merakamkan rasa simpati dan takziah kepada waris, saudara mara dan rakan kepada 27 warga Australia yang terkorban dalam nahas itu.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami turut dapat merasai kesedihan dan kepiluan yang dirasai mereka,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment