Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, September 16, 2014



Tahniah diucapkan kepada mantan Perdana Menteri kita, Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana sudah mempunyai blognya sendiri.

Tidak dinafikan internet adalah sumber yang tidak boleh dinafikan hak capaiannya dalam masyarakat zaman sekarang dan ini adalah  langkah yang positif oleh Pak Lah untuk menyuarakan pendapat dan pertimbangan beliau.

Berikut adalah penulisan pertama dari Pak Lah :

Assalamualaikum dan salam sejahtera pada saudara-saudari rakyat Malaysia sekelian.

Pada hari yang bermakna ini saya terpanggil untuk mencatatkan dan berkongsi dengan saudara-saudari rasa hati saya berkaitan negara tercinta kita Malaysia.

Rakyat Malaysia sungguh megah dengan kepelbagaian di dalam negara kita. Bukan sahaja sekadar menerima kepelbagaian ini, kita juga pancarkannya ke merata dunia sebagai satu harta pilihan atau kepunyaan yang kita kagumi.

Pak Lah

Tetapi kebelakangan ini, ramai diantara kita menumpukan perhatian bukan kepada kepelbagaian masyarakat, tetapi kepada perbezaan di dalam masyarakat. Baik dari segi fahaman politik, bangsa, agama, mahupun taraf hidup, perbezaan ini dibiarkan melarat ke perbalahan yang tidak terbatas.

Sikap toleransi dan saling menghormati diantara satu sama lain sudah berkurangan. Kebebasan bersuara yang kita nikmati melalui laman sosial media dan portal Internet yang lain, diguna untuk meluahkan perasaan marah perkauman yang tak terbatas. Saya sedih melihat apa yang terjadi di dalam negara kita yang tercinta ini walaupun banyak usaha telah diadakan untuk memupuk perpaduan di antara kaum.
Lagu dan cogan kata sering diutarakan, lebih- lebih lagi di musim merayakan kemerdekaan. Memanglah lagu dan cogan kata membantu untuk membakar semangat, tapi api kian padam jika semangat ini tidak tersemat dalam jiwa. Kita mesti merdeka di hati dan bersatu di jiwa.

Janganlah kita cuma bersatu padu bila ada keraian atau bila menyambut kemenangan. Janganlah kita hanya bersatu padu apabila berlakunya tragedi atau bencana. Semangat perpaduan mesti sentiasa kekal tersemat dihati dan bukan bermusim sahaja.

Penyatuan kaum adalah penting, tapi janganlah kita memupuk perpaduan dengan cara menakut-nakutkan rakyat akan implikasi perbalahan tanpa batas. Ambillah iktibar dari tragedi 13 Mei, tapi janganlah kerap mengungkit peristiwa tersebut. Kita harus pandang kehadapan.

Memang lumrah dunia yang manusia akan sentiasa ada perbezaan pendapat. Lebih-lebih lagi di dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

Boleh ada perbezaan pendapat dan fahaman politik, tapi janganlah sampai berbalah tak terbatas.

Kerajaan yang dipilih secara demokrasi patut diberi peluang untuk mentadbir. Baik kerajaan BN ataupun kerajaan Pakatan. Begitulah juga dengan pemimpin, kalau dia telah dipilih mengikut amalan demokrasi, berilah dia peluang untuk mentadbir kerajaan secara adil dan saksama.

Manusia tidak terlepas dari kesilapan, apatah lagi pemimpin yang juga seorang manusia. Kalau ada kesilapan, berilah teguran dan nasihat jika perlu, tetapi amalan membakar kampung kerana marah kepada penghulu bukanlah satu perbuatan yang membawa manfaat.

Kalau pun ada rasa kurang puas hati luahkanlah secara aman dan berhemah mengikut amalan demokrasi dan adat resam orang timur.

Kebelakangan ini, ramai perbalahan berlaku di antara kaum mengenai isu-isu seperti hak keistimewaan orang Melayu, hak asasi kaum-kaum bukan Melayu, taraf rasmi Islam dan hak kebebasan beragama. Bukanlah niat saya untuk menghuraikan isu-isu ini secara terperinci di sini. Saya pun sedar yang saya mungkin tidak mempunyai jawapan menyeluruh pada masa ini untuk menyelesaikan isu-isu tersebut. Tetapi Pak Lah cuma ingin mengingatkan saudara-saudari semua yang ini adalah negara kita bersama, tanah tumpahnya darah kita semua. Peliharalah kerahmatan dan kebahgiaan yang dikurniakan Tuhan kepada kita semua.

SELAMAT HARI MALAYSIA!

Tahniah Pak Lah. Diharap agar blog Pak Lah dapat sedikit sebanyak dapat menyumbang idea kearah pembangunan negara dan menjadi tatapan muda mudi kini - SiakapKeli.com

0 comments:

Post a Comment