Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, September 12, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Tindakan sesetengah pusat pengajian Tahfiz al-Quran persendirian yang meminta pelajar memungut derma tidak sewajarnya berlaku kerana ia tidak selari dengan matlamat penubuhan madrasah selain menjejaskan imej Islam.

Pengetua Darul Quran Ittifaqiyah Kampung Datuk Keramat, Mohd Zahid Mahmood berkata, tindakan itu juga boleh disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kerana kanak-kanak itu dihantar ibu bapa dengan kepercayaan bahawa anak-anak mereka akan dididik menghafal kitab suci al-Quran.

“Pusat madrasah juga mengenakan yuran kepada pelajar dan wang itu yang seharusnya digunakan untuk membiayai pusat pengajian, bukan dengan meminta pelajar meraih derma.

“Ada madrasah mengenakan bayaran minimum sedangkan pelajar tinggal, makan serta minum di situ, tapi itu bukan alasan kerana derma seharusnya datang daripada individu yang mahu menyumbang, bukan dengan meminta pelajar mengutipnya,” katanya kepada Bernama.

Mohd Zahid ditemui pada persidangan meja bulat ‘Pertumbuhan Sekolah Aliran Tahfiz di Malaysia – Antara Aspirasi Murni dan Hakikat Sebenar di Lapangan’ anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, semalam.

Terdapat rungutan orang ramai yang tidak selesa apabila didatangi kanak-kanak dan remaja yang memohon derma terutama yang mendakwa untuk kegunaan pusat tahfiz.

Pengarah Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawana Mohammad berkata, kegiatan itu membuka ruang kepada golongan tidak bertanggungjawab untuk memanipulasi kanak-kanak untuk mendapatkan ‘wang segera’.

“Kita sedia maklum, sebagai orang Islam, kita mudah berasa simpati terutama jika yang datang minta (derma) adalah kanak-kanak yang mendakwa mereka dari pusat tahfiz,” katanya.

Ketua Sektor Kemajuan Sekolah Agama Kementerian Pendidikan, Hassan Nudin A. Hamid pula berkata pelajar pusat tahfiz seharusnya memanfaatkan masa mereka untuk menghafal al-Quran, bukannya mengutip derma di lokasi tumpuan ramai.

Apabila waktu siang dihabiskan di tempat sedemikian, kanak-kanak berkenaan sudah pasti menghadapi kesukaran untuk menumpukan perhatian kepada pengajian kerana keletihan, katanya.

“Sebab itu kita mementingkan keperluan untuk madrasah persendirian berdaftar dengan kementerian kerana kita boleh memantau perjalanan pusat tahfiz dan mengelak berlakunya aktiviti sebegini,” katanya.

Hassan Nudin menambah ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan menyemak status pusat tahfiz sebelum menghantar anak mereka bagi menjamin keselesaan persekitaran di situ. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment