Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, September 6, 2014

No Comment
PERDANA Menteri Australia, Tony Abbott.
SEPANG: Perdana Menteri Australia, Tony Abbott tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi sehari ke Malaysia bagi membincangkan kerjasama dua hala dengan fokus utama berkaitan tragedi yang menimpa dua penerbangan Malaysia Airlines baru-baru ini.

Abbott tiba dengan pesawat khas Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada jam 6.40 pagi dan disambut oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Ini adalah lawatan rasmi pertama beliau di Malaysia selepas dilantik sebagai perdana menteri pada 18 September tahun lepas untuk memperkukuh hubungan dua hala.

Abbott dijadual mengadakan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disusuli mesyuarat delegasi dua hala bagi menilai perkembangan kerjasama dalam pelbagai bidang kepentingan bersama.

Upacara sambutan meraikan ketibaan Abbott akan diadakan di Dataran Perdana Putrajaya.

Beliau juga dijadual menghadiri majlis rasmi jamuan tengah hari di kediaman Perdana Menteri di Seri Perdana, juga di Putrajaya.

Menurut Wisma Putra, agenda utama perbincangan pemimpin kedua-dua negara itu adalah mengenai status kerjasama berhubung insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, 17 Julai lepas.

Kedua-dua perdana menteri juga dijadual bertemu dengan anggota pasukan dari Malaysia yang terbabit dalam operasi pencarian MH370 dan MH17 untuk merakamkan penghargaan terhadap usaha yang mereka laksanakan.

Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui walaupun pencarian besar-besaran telah dilakukan di selatan Lautan Hindi di mana penerbangan pesawat itu dipercayai berakhir.

Usaha baharu pencarian telah dilakukan untuk mengesan pesawat itu apabila kerajaan Malaysia dan Australia menandatangani memorandum persefahaman bulan lepas.

Pesawat penerbangan MH17 pula terhempas di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak berkenaan.

Rakyat Malaysia, melibatkan penumpang dan anak kapal, serta warga Australia dan beberapa negara lain berada dalam kedua-dua penerbangan itu.

Sejak pemeteraian hubungan diplomatik antara Malaysia dan Australia pada 1957, kedua-dua negara menjalin hubungan yang sangat akrab dan bertenaga dan dipertingkatkan menerusi kerjasama substantif terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, keselamatan serta hubungan antara rakyat kedua-dua negara. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment