Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, September 11, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan memperkenalkan skim perumahan ‘PR1MA Rumah Ibu’ bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana terutama daripada kalangan generasi muda untuk memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi PR1MA, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, berkata skim terbaharu itu berkonsepkan rumah ‘studio’ yang memiliki satu bilik tetapi mempunyai kemudahan asas lengkap dan berkeluasan kira-kira 650 kaki persegi, dijangka dilancarkan tahun depan.

“Bagaimanapun, skim itu hanya membabitkan pembinaan rumah atas tanah dan mempunyai keluasan mencukupi jika penghuninya perlu membuat pengubahsuaian atau penambahan bilik pada masa depan.

“Rumah itu ditawarkan pada harga rumah satu bilik dan ia membantu golongan berpendapatan rendah serta generasi muda yang ingin memiliki kediaman sendiri mengikut kemampuan mereka,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis pemeteraian Perjanjian Pembelian Induk En-Bloc (MEBPA) antara PR1MA dan Darulaman Realty Sdn Bhd (DRSB) bagi pembangunan 323 unit rumah PR1MA di Kuala Ketil, Kedah bernilai RM72 juta.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Bhd (BDB), Datuk Izham Yusoff.

Mengulas lanjut, Jamaluddin berkata, pada peringkat permulaan, pihaknya merancang untuk membangunkan ‘PR1MA Rumah Ibu’ di Kedah dan Perak sebelum diperluaskan ke semua projek PR1MA seluruh negara.

“Setakat ini, jumlah unit yang akan dibina bergantung kepada permintaan dan harga setiap unit ditetapkan menerusi perbincangan dengan kerajaan negeri,” katanya.

Pembinaan 323 unit rumah teres dua tingkat di Kuala Ketil berkenaan, kini sudah 60 peratus siap dan dibina di tapak seluas 7.9 hektar berdekatan dengan Kolej Universiti Insaniah.

Sementara itu, Mukriz berkata, sasaran kerajaan Kedah membina 40,000 rumah kos rendah dan mampu milik menjelang 2018 akan direalisasi lebih awal berikutan pembinaan rumah mampu milik mendahului sasaran tahunan.

Menerusi pelan Makmal Transformasi Kedah yang diperkenal tahun lalu, purata 6,000 unit rumah mampu milik akan dibina setahun namun hingga kini 9,100 unit sudah diluluskan pembinaannya berbanding 6,698 pada 2013.

Mukhriz berkata, tarif harga rumah kos rendah di Kedah ialah bawah RM160,000 manakala rumah mampu milik pula antara RM200,000 dan RM240,000.

Penduduk Kedah dianggar berjumlah 2.01 juta tahun lalu dengan kadar pertumbuhan tahunan penduduk pada 0.9 peratus. – BH Online

0 comments:

Post a Comment