Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, September 11, 2014

No Comment

KOTA BHARU – Sebanyak tiga borang pencalonan untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor telah dibeli oleh tiga individu hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata bagaimanapun SPR tidak boleh mendedahkan nama individu atau parti yang membeli borang itu.

“Mungkin ada parti yang beli lebih borang untuk ‘simpanan bila perlu’,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan bersama ketua-ketua jabatan di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK itu Mohd Sobri Ramli.

Semalam, Barisan Nasional (BN) menamakan bekas penolong pegawai pendidikan daerah Tumpat, Mat Razi Mat Ail, 48, sebagai calonnya bagi PRK itu, manakala PAS dijangka mengumumkan calon mereka malam ini.

Abdul Ghani berkata penyerahan borang pencalonan bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi di  Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat yang dijadikan pusat penamaan calon pada Sabtu ini.

SPR juga mengeluarkan 100 pas khas kepada penyokong setiap parti untuk digunakan pada hari penamaan calon itu.

“Kita akan beri kepada wakil setiap parti untuk digunakan oleh penyokong mereka pada hari penamaan calon. Bagaimanapun, penyokong hanya dibenarkan berada di perkarangan pusat penamaan calon sahaja. Pas khas tersebut mestilah  yang tulen dan tidak boleh difotostat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para penyokong supaya tidak melanggar peraturan yang ditetapkan suruhanjaya itu seperti membawa pembesar suara dan alat muzik agar tidak mengganggu perjalanan proses penamaan calon.

Sementara itu, Mazlan berkata jalan di hadapan pusat penamaan calon itu akan ditutup pada Jumaat bermula 10 malam sehingga proses penamaan calon selesai.

“Kita akan meletakkan penghadang sejauh kira-kira 50 meter di kiri dan kanan perkarangan pusat penamaan calon untuk memisahkan kedua-dua penyokong. Kita juga akan bantu setiap parti yang bertanding untuk mendapatkan permit ceramah,” katanya.

PRK DUN itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas  Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

SPR menetapkan 25 Sept ini sebagai hari pengundian. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment