Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, September 8, 2014

No Comment

SEPANG – Beraksi sebagai pasukan bukan pilihan menjadi kelebihan bagi Harimau Muda A pada perlawanan bola sepak peringkat kumpulan saingan Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan, kata kapten pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak.

Aidil, pemain senior yang dipanggil bagi membantu skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berkata, skuad kebangsaan tidak merasa tertekan walaupun akan memulakan perlawanan menentang pasukan tuan rumah, Korea Selatan, 14 September ini.

“Bagi saya pasukan Korea Selatan lebih tertekan kerana mereka skuad tuan rumah. Pasukan hanya perlu fokus satu persatu perlawanan dalam peringkat kumpulan, jangan terlalu tertekan untuk menang.

“Walaupun saya dan dua lagi pemain senior dipanggil menyertai skuad Harimau Muda A, bagi saya kami tidak berdepan sebarang masalah dari segi keserasian.

“Kami hanya boleh bantu dari segi pengalaman saja, selebihnya taktikal dan kemahiran pemain senior atau pemain Harimau Muda A,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi .

Skuad Harimau Muda A berlepas ke China bagi menyertai perlawanan persahabatan antarabangsa menentang negara itu Rabu ini sebagai persiapan akhir sebelum ke Incheon.

Selain Aidil, turut dipanggil menyertai skuad kebangsaan ialah Brendan Gan dan Mohd Norfarhan Muhammad.

Aidil berkata beliau menyifatkan sasaran ke suku akhir dapat memberikan motivasi kepada pemain untuk memberikan persembahan terbaik di Incheon nanti.

Sementara itu, Kim Swee ketika ditemui berkata beliau masih belum mempunyai kesebelasan utama bagi perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Korea Selatan dan memerlukan masa memperbaiki kelemahan skuad terutama pada bahagian serangan sebelum menyenaraikan kesebelasan utama pasukannya.

“Dalam perlawanan persahabatan menentang China, Rabu ini, saya ada dua sesi latihan. Saya harap sesi latihan itu dapat disempurnakan untuk memperbaiki kelemahan kita terutamanya di bahagian serangan,” kata Kim Swee.

Malaysia akan memulakan kempen dalam Kumpulan A bertemu Korea Selatan dalam perlawanan pertama pada 14 September ini, sebelum bertemu Laos dan Arab Saudi untuk melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan.

Hanya juara dan naib juara kumpulan saja layak ke suku akhir dan perlawanan akhir bola sepak Sukan Asia 2014 itu ialah pada 3 Oktober depan. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment