Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, September 8, 2014

No Comment

MAKKAH – Usaha Lembaga Tabung Haji (TH) menambahbaik perkhidmatan urusan ibadah haji, terutama mengurangkan jumlah jemaah haji tersasar turut diterima pakai oleh Muassasah Asia Tenggara dalam mengendalikan jemaah haji dari rantau itu.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata langkah TH memperkenalkan sistem lanyard, tali berwarna terang iaitu oren dan merah bersama nombor maktab penginapan akan dipakaikan kepada jemaah haji yang baru tiba, sama ada di Madinah dan Makkah, berjaya mengurangkan jumlah jemaah haji tersasar.

“Malah sistem ini juga dapat membantu membuat hitungan kepala bagi jemaah yang dibawa untuk mengerjakan tawaf dan saie di Masjidilharam di sini, atau pun semasa program ziarah di Madinah,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini Ahad.

Beliau berkata dengan adanya pemakaian lanyard ini, akan memudahkan TH mengenal pasti jemaah yang tersasar dari kawasan maktab atau yang masih berada di Masjidilharam untuk beribadah.

Melihat keberkesanan pengunaan lanyard ini dalam mengawal jumlah jemaah haji yang besar, Muassasah Asia Tenggara yang bertanggungjawab mengurus ibadah haji umat Islam dari rantau tersebut turut menggunakan sistem itu.

“Muassasah Asia Tenggara meminta negara lain di bawah seliaannya turut mencontohi tindakan Tabung Haji ini. Ini adalah satu sumbangan Malaysia kepada jemaah haji negara lain,” katanya.

Syed Saleh berkata selain itu jemaah haji Malaysia juga turut dibekalkan dengan beg sandang berwarna kuning bagi memudahkan pihak TH mengesan mereka di kawasan Masjidiharam atau di mana-mana sahaja jika jemaah tersasar jauh dari kawasan penginapan.

TH juga turut menyediakan pasukan peronda yang berpakaian kemeja-T merah serta bertopi merah untuk mengawal dan mengesan jemaah haji yang tersasar dan memastikan mereka dapat pulang ke maktab penginapan dengan selamat, katanya.

Menyentuh mengenai indeks kepuasan pelanggan, Syed Saleh berkata TH telah pun mendapat ISO9001:2008 dalam usaha memastikan perkhidmatannya berkualiti sejak 2006.

“Dengan adanya pengiktirafan ini prosedur kerja di TH perlu mengikut standard bertaraf dunia, dan ini menjadi pengukur kepada perkhidmatan TH, termasuk proses pendaftaran jemaah haji di Kompleks Haji di Kelana Jaya, pelepasan jemaah haji di lapangan terbang, pendaftaran haji dan sebagainya.

“Prosedur ISO ini membantu TH mengawal dan memantau prestasi semua unitnya bagi mengukur tahap perkhidmatannya,” kata Syed Saleh.

Selain itu, pihaknya juga akan mengedarkan 5,000 borang kaji selidik kepada jemaah haji setiap tahun untuk mendapat maklum balas mengenai perkhidmatan urusan hajinya.

“Jumlah ini merupakan 20 peratus daripada jumlah keseluruhan jemaah haji yang dikendalikan TH, dan maklum balas yang diberi termasuk dari aspek sajian makanan, pengeluaran kewangan serta bimbingan haji,” katanya.

Beliau berkata dengan ini pihak TH dapat mengesan kelemahan yang perlu diatasi kerana ia merupakan kayu pengukur perkhidmatan badan itu.

Beliau berkata pihak Muassasah Asia Tenggara turut berminat melaksanakan sistem standard yang sama untuk menilai tahap perkhidmatannya.

Menyentuh mengenai sahabat TH, iaitu sukarelawan dalam kalangan anggota jemaah haji yang ingin membantu dari segi kebajikan, perubatan dan bimbingan ibadah, Syed Saleh berkata setiap tahun TH membuka peluang ini kepada jemaah haji yang layak dan berkelayakan untuk turut membantu TH.

Sebelum mengambil jemaah haji sebagai sahabat TH, mereka akan disaring untuk memastikan mereka berwibawa bagi menjalankan tanggungjawab tersebut, dan TH menghadkan hanya 25 orang sukarelawan di setiap maktab.

“Mereka akan diberi taklimat mengenai tanggungjawab mereka serta diberi vest untuk mudah dikenali,” katanya.

Gandingan antara sahabat dan petugas TH amat diperlukan terutama semasa mengerjakan wukuf di Arafah, tambahnya.

Beliau berkata antara kriteria untuk layak diambil sebagai sahabat TH, mempunyai latar belakang dalam bidang tadbir urus dan mampu berhadapan dengan keadaan terdesak, mempunyai sifat suka menolong serta komitmen tinggi.

Syed Saleh juga berkata buat pertama kalinya jemaah haji yang tinggal di maktab-maktab yang mempunyai jumlah jemaah haji yang besar iaitu Abraj Al Janadiriyyah dan Land Premium dapat mengikuti siaran stesen TV3 di bilik masing-masing bagi memastikan mereka dapat mengikuti perkembangan dalam negara.

Selain itu, TH juga turut menyalurkan siaran info mengenai ibadah haji dan maklumat penting dalam siaran televisyen swasta tersebut, katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment