Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, October 7, 2014

No Comment

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aer Lingus Christoph Mueller disebut bakal mengetuai Malaysia Airlines (MAS) selepas penstrukturannya, kata sumber.

Syarikat penerbangan Irish itu mengumumkan pada Julai, veteran Jerman itu akan meletakkan jawatan bermula Mei 2015 namun tidak menyatakan ke mana beliau akan pergi.

Aer Lingus dan MAS adalah sebahagian daripada sekutu.

"Mueller sesuai untuk tugasan itu," kata sumber kepada The Malaysian Insider.
Pemegang saham terbesar MAS adalah Khazanah Nasional Bhd dan mereka menyenaraikan beberapa calon dan memilih Mueller beberapa bulan lalu namun tidak boleh mendedahkannya.

Mueller menyertai Aer Lingus sebagai CEO pada September 2009 dan mengembalikan syarikat itu daripada kemundurannya.

Pengerusi Aer Lingus, Colm Barrington mengakui keupayaan Mueller atas perkhidmatannya ketika mengumumkan pemergiannya pada Julai.

"Di bawah kepimpinan strategik Christoph, Aer Lingus berubah menjadi syarikat penerbangan yang kuat, menguntungkan dengan arah tuju strategik yang jelas," katanya, dipetik akhbar Irish.

Mueller juga pernah menjawat jawatan Pengarah Eksekutif Penerbangan di TUI Travel PLC, sebuah FTSE dengan 100 syarikat dan berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan di DGL Worldwide daripada 2002 hingga 2004.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam industri penerbangan, dan pernah memegang jawatan senior dalam syarikat Daimler Benz Aerospace, dan pernah menjadi Naib Presiden Eksekutif di Lufthansa AG dan juga CEO di Sabena Group.

Beliau memperolehi MBA daripada University of Cologne dan melengkapkan pengajian dalam Advanced Management Program di Harvard Business School, berdasarkan laman web Aer Lingus.

The Star melaporkan syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS) akan melantik seorang warga asing sebagai ketua pegawai eksekutifnya (CEO) yang baru.

Beliau akan ditugaskan menyelia penstrukturan semula syarikat tersebut dan mengawasi prestasinya untuk lima tahun akan datang, menurut laporan akhbar hari ini.

"Calon tersebut ialah antara tiga yang disenaraipendek. Beliau seseorang daripada dalam industri... bukan dari luar industri," kata satu sumber kepada The Star.

Selain CEO, MAS juga dijangka akan melantik lima atau enam individu penting yang mempunyai kepakaran dalam industri itu, bertujuan untuk mengurangkan kos.

Calon CEO tersebut dijangka akan menggantikan Ahmad Jauhari Yahya pada September tahun depan, selepas kontrak beliau tamat.

Sumber itu juga memberitahu jawatankuasa penstrukturan mungkin terpaksa mengambil orang luar dalam usaha membantu memulihkan MAS jika tidak mempunyai orang tempatan yang pakar dalam industri.

"Sekarang, jawatankuasa bertanggungjawab dalam penstrukturan akan memastikan setiap jawatan utama dikendalikan oleh mereka dalam industri. Jika tidak mempunyai pakar tempatan, mungkin orang luar akan dibawa masuk," kata sumber.

Baru-baru ini, antara langkah rombakan yang diambil MAS adalah dengan melantik Mohd Nadziruddin Mohd Basri sebagai Ketua Pegawai Penstrukturan (CRO) yang bertanggungjawab di Pejabat Pengurusan Penstrukturan.

Sebagai CRO, Mohd Nadziruddin melapor kepada Jawatankuasa Lembaga Penstrukturan, sebuah jawatankuasa kecil lembaga pengarah MAS.

Ogos lalu, Khazanah Nasional juga mengumumkan pelan pemulihan MAS melibatkan kos RM6 bilion yang antara lain membabitkan pengurangan 30% kakitangan dan memberi tumpuan semula kepada laluan serantau yang menguntungkan berbanding destinasi jarak jauh yang mengalami kerugian.

Langkah pemulihan ini bukan kali pertama diambil untuk menyelamatkan MAS, pada 2007 Datuk Seri Idris Jala juga terpaksa mengetuai syarikat penerbangan negara itu. – The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment