KUALA LUMPUR — Kerajaan harus menolak budaya sindrom penafian dengan menafikan keadaan keselamatan yang menjadi semakin teruk dan menyalahkan pihak media kerana menghebohkan berita jenayah, kata Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong.
Beliau berkata, sebaliknya kerajaan harus mengambil langkah-langkah yang berkesan supaya rakyat benar-benar berasa selamat.
“Pihak kerajaan perlu menerima hakikat ini dan memahami mengapa rakyat kini hidup dalam ketakutan dan kebimbangan.
“Jadi, segala langkah perlu diambil untuk mengendalikan rasa selamat yang diidamkan rakyat, dan rasa selamat ini hendaklah bertambah kuat dari sehari ke sehari,” katanya dalam mesyuarat agung Pemuda MCA hari ini.
Menurutnya lagi, statistik jenayah yang diumumkan pihak kerajaan sering diragui rakyat, serta keadaan yang tidak membantu masalah yang sebenar.
“Hanya tindakan realistik, termasuk meningkatkan keberkesanan polis dan memerangi jenayah dengan tegas dapat membetulkan keadaan dan menjamin keselamatan negara,” kata Wee lagi.
Wee turut berkata, masalah keselamatan adalah masalah yang paling diberi perhatian oleh orang ramai, dan kehendak rakyat bukanlah penurunan kadar jenayah yang diumumkan oleh pihak kerajaan.
“Kehendak rakyat adalah perasaan selamat di persekitaran mereka.
“Menurut pakar psikologi terkemuka Abraham Maslow yang mengemukakan teorinya, rakyat negara ini telah dapat memenuhi keperluan asas dan keperluan selanjutnya ialah tentang keselamatan.
“Oleh itu, pihak kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menjamin keselamatan rakyat dan harta benda mereka,” katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat agung parti tersebut. (The Malaysian Insider)
0 comments:
Post a Comment