Medan – Polis semalam melancarkan
gerakan memburu kira-kira 100 banduan, termasuk militan yang melarikan
diri dari sebuah penjara yang sesak selepas membakarnya dalam satu
rusuhan.
Lima orang terbunuh dalam kejadian itu.
Banduan berkenaan mula bertindak ganas
petang kelmarin dengan membakar dan melontar botol ke arah pengawal
kerana berang selepas bekalan tenaga dan air ke penjara itu diputuskan.
Penjara Tanjung Gusta itu terbakar
dengan api menjulang tinggi hingga memaksa puluhan anggota bomba bekerja
keras sepanjang malam memadamkannya.
Kira-kira 150 tahanan dilapor melarikan diri dan polis serta tentera
berkata semalam, mereka masih memburu 100 lagi selepas berjaya menangkap
puluhan yang lain.
“Kami sudah menguasai semula keadaan dan tentera memasuki penjara tanpa
sebarang tentangan,” kata Akbar Hadi Prabowo, jurucakap Jabatan Penjara.
Menteri Kehakiman dan Hak Asasi Manusia,
Amir Syamsuddin sebelum itu mengadakan perbincangan dengan wakil
banduan, kata Akbar tanpa menjelaskan maklumat perbincangan secara
lanjut.
Banduan di Indonesia sering ditahan di penjara yang sesak dan Tanjung Gusta tidak terkecuali.
Menurut laporan, sehingga kelmarin, terdapat 2,600 tahanan di penjara itu, lebih separuh daripada kemampuannya.
Banduan membenarkan 20 anggota tentera memasuki penjara , tetapi tidak anggota polis, pagi semalam.
“Kami tidak suka polis. Mereka tidak
berperikemanusiaan. Mereka memukul kami,” jerit seorang tahanan
sementara seorang lagi melambaikan pistol dan gari ke arah pegawai.
Lima orang termasuk tiga tahanan dan dua kakitangan penjara terbunuh dalam rusuhan berkenaan.
Kedua-dua kakitangan itu mati kerana terperangkap dalam pejabat mereka.
Kira-kira 1,000 anggota polis dan
tentera dikerah mengawal pusat tahanan itu serta melancarkan gerakan
memburu besar-besaran di sekitar kawasan.
Banduan yang melarikan diri itu termasuk enam orang yang didapati bersalah atas tuduhan keganasan.
Di Jakarta, Menteri Kanan Keselamatan Joko Suyanto berkata, 64 banduan yang melarikan diri sudah ditangkap termasuk dua militan.
Menurut sumber, kira-kira 500 banduan
enggan berhenti merusuh sehingga pasukan keselamatan menguasai semula
keadaan dalam penjara itu.
Timbalan Menteri Kehakiman Denny
Indrayana yang berada di Medan untuk memantau keadaan merayu mereka yang
melarikan diri supaya menyerah diri.
0 comments:
Post a Comment