GEORGETOWN – Lain yang disasar lain pula
yang menjadi mangsa. Itu yang berlaku dalam satu kejadian di Pangsapuri
Golf View Bukit Jambul di sini apabila seorang kanak-kanak lelaki
berusia empat tahun menjadi mangsa selepas ditembak seorang lelaki
ketika dia menemani bapanya berjumpa rakan di bawah pangsapuri berkenaan
malam kelmarin.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira
jam 10.45 malam itu, mangsa ketika itu dikatakan berada di sebelah
bapanya yang sedang bersembang dengan seorang kenalan di kerusi batu di
bahagian bawah pangsapuri berkenaan sebelum didatangi seorang lelaki
menunggang motosikal jenis Yamaha LC berwarna putih.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri,
Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, hasil maklumat awal
mendapati, suspek dilihat memakai jaket hitam, bertopi kaledar terus
melepaskan beberapa das tembakan secara rambang menyebabkan ketiga-tiga
mereka lari menyelamatkan diri.
Menurutnya, tembakan suspek yang
tersasar turut menyebabkan dua buah kenderaan jenis Nissan Sentra dan
Toyota Unser penduduk rosak terkena serpihan tembakan.
Akibat kejadian itu, kanak-kanak
berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki selain kepalanya
cedera akibat terkena serpihan peluru.
Difahamkan, bapa kanak-kanak berkenaan
berusia 33 tahun yang bekerja sebagai penarik kereta dan tinggal di
sekitar kawasan Sungai Tiram, Bayan Lepas.
Mazlan berkata, sebaik melihat keadaan
anaknya cedera, mangsa dibawa ke sebuah hospital swasta di Bayan Baru di
sini bagi mendapatkan rawatan dan difahamkan mangsa dilaporkan berada
dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan.
Sementara itu, Mazlan berkata, siasatan
awal terhadap bapa mangsa memaklumkan sebelum kejadian dia melihat
suspek menunggang motosikal mengelilingi kawasan perumahan berkenaan
sebelum melepaskan tembakan ke arah mereka.
Katanya, siasatan polis di tempat
kejadian juga menjumpai lapan kelongsong peluru jenis 9 MM bertulis Thai
Arms dan dua slug di beberapa tempat di bawah pangsapuri berkenaan.
“Turut ditemui beberapa kesan darah
dipercayai darah mangsa dan sepasang kasut miliknya manakala semakan
pada kamera litar tertutup hanya fokus pada pintu lif dan pergerakan
suspek jauh serta tidak jelas.
“Setakat ini kita masih lagi menyiasat
motif sebenar kejadian ini dan kita percayai ia mungkin berkaitan dengan
kumpulan pengedaran dadah,” katanya kepada media ketika ditemui di
lokasi kejadian kelmarin.
Mazlan berkata, siasatan polis mendapati
bapa mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kes akan
disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata
Api. – Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment